Pembangunan Sektor Industri Akuakultur Sarawak Diberi Perhatian

UKAS  > Edisi-Selatan >  Pembangunan Sektor Industri Akuakultur Sarawak Diberi Perhatian
0 Comments

AHAD, 27 MAC 2022

LUNDU: Kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan sektor industri akuakultur di negeri ini agar dapat memenuhi pasaran tempatan dan juga eksport. 

Demikian menurut Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom semasa lawatan kerjanya ke Ginger & Coconut Sdn Bhd, sebuah syarikat yang menternak ketam bakau di Loba Stoh, Rambungan baru-baru ini.

Katanya, terdapat permintaan yang tinggi untuk ketam bakau khususnya ‘soft shell crab’, namun bilangan pengusahanya amat rendah. 

Oleh itu tegas beliau, bidang penternakan ketam bakau merupakan salah satu cabang yang akan diambil berat bagi menjamin keselamatan bekalan makanan atau “food security” di Sarawak.

Turut sama menyertai lawatan itu, Timbalan Menteri MANRED, Martin Ben dan Pemangku Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Sarawak, Dominic Chunggat.

Ginger & Coconut Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat akuakultur yang beroperasi di Sarawak dengan melibatkan aktiviti-aktiviti akuakultur seperti mengintegrasikan penternakan ketam lumpur secara menegak, penternakan udang dan juga kilang memproses serta membungkus. 

Difahamkan, setakat ini, syarikat Ginger & Coconut Sdn Bhd mempunyai dua ladang yang terletak di Loba Stoh dan di Telaga Air, dengan sebanyak 46 kolam. 

Daripada jumlah itu, 29 kolam digunakan untuk mengkultur ketam bakau bagi menghasilkan ketam berkulit keras dan ketam berkulit lembut yang berkualiti tinggi.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *