ADUN Simanggang Terima laporan Tahunan Aktiviti MDSA Buat Kali Pertama

UKAS  > Edisi-Selatan >  ADUN Simanggang Terima laporan Tahunan Aktiviti MDSA Buat Kali Pertama
0 Comments

ISNIN, 28 MAC 2022

SRI AMAN: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis telah menerima laporan Tahunan Aktiviti Pembangunan Komuniti di bawah projek rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang pada Sabtu.

Menurut Datuk Francis, ini merupakan kali pertama beliau menerima laporan aktiviti secara rasmi daripada Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) sepanjang beliau menggalas tugas sebagai wakil rakyat selama enam penggal di kawasan itu.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pembangunan Komuniti MDSA kerana berjaya menyiapkan laporan aktiviti yang telah dilaksanakan pada tahun lalu bagi memudahkan beliau mengambil maklum segala peningkatan yang telah dicapai sekaligus meneliti dengan lebih lanjut semua keperluan bagi tujuan kemajuan kawasan tersebut.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan Laporan Tahunan Aktiviti Pembangunan Komuniti bertempat di Golden City Restaurant Sri Aman.

Majlis ringkas anjuran Bahagian Pembangunan Komuniti MDSA itu turut memperincikan mengenai peruntukan yang disalurkan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) berjumlah RM100,000 untuk membiayai kegiatan pembangunan komuniti di konstituensi tersebut temasuk aktiviti yang dijalankan melalui MDSA.

Hadir sama, Setiausaha MDSA, Tay Guan Huat; Timbalan Setiausaha MDSA, Hiu Kee Sing; Ketua Bahagian Pembangunan Komuniti MDSA, Regina Giles Senin; Ketua Bahagian Kesihatan dan Perkhidmatan Bandar MDSA, Fiona Bunu Joseph Lepa; Pegawai RTP MDSA, Fanny Jun Enggang; Penghulu Mingging Sigan dan Penghulu Andar Suntai. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *