Jualan Keluarga Malaysia Tawar Harga Berpatutan

UKAS  > Edisi-Utara >  Jualan Keluarga Malaysia Tawar Harga Berpatutan
0 Comments

ISNIN, 28 MAC 2022

LIMBANG: Inisiatif Jualan Keluarga Malaysia dilaksanakan di seluruh negara bagi membolehkan rakyat berbelanja dengan tawaran harga yang berpatutan.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah memberitahu, program tersebut dilaksanakan sebagai satu usaha kerajaan untuk menyokong pemulihan ekonomi khususnya sektor peruncitan dalam negara serta mengembalikan keyakinan kepada pengguna untuk keluar berbelanja di seluruh negara.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah merancang pelaksanaan program ini untuk tahun 2022 berteraskan konsep 3R iaitu Pemulihan Ekonomi (Recovery), Merancakkan Semula Ekonomi (Revitalise), dan Menghidupkan Semula (Revive) apa jua aktiviti ekonomi yang terhenti disebabkan pandemik COVID-19.’’

“Ini sekaligus akan meningkatkan daya saing perdagangan domestik,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Hindari Plastik Sekali Guna Peringkat Daerah Limbang dan Jualan Keluarga Malaysia di Pekan Medamit pada Sabtu.

Menurut beliau, kerajaan telah memperuntukkan RM10 juta di bawah Bajet 2022 khusus untuk mempromosi dan mengadakan kempen mengalakkan rakyat Malaysia berbelanja bagi merancak ekonomi negara di pelbagai peringkat.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang menjelaskan, kerajaan telah belanja berbilion ringgit untuk menyediakan subsidi minyak serta mengusahakan cara-cara bagi menangkis kenaikan harga minyak dunia.

“Justeru, rakyat harus memahami serta menyokong usaha kerajaan kerana fenomena COVID-19 serta peperangan yang berlaku baru-baru ini telah menjejaskan ekonomi dan juga mengakibatkan kenaikan harga minyak di seluruh dunia,’’ tambahnya lagi.

Menyentuh berkenaan Kempen Hindari Plastik Sekali Guna pula, Datuk Hasbi berharap ianya diperluaskan di daerah Limbang serta dilaksanakan secara berterusan kerana penggunaan plastik akan menjejaskan alam sekitar.

Turut hadir ialah Setiausaha Majlis Daerah Limbang, Petrick Linggie Taboh, serta Ketua Cawangan KPDNHEP Limbang, Pulnama Tarah. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *