Orang Ramai Perlu Punyai Kesedaran Penyakit Tibi, Elak Penularan Secara Berleluasa

UKAS  > Edisi-Utara >  Orang Ramai Perlu Punyai Kesedaran Penyakit Tibi, Elak Penularan Secara Berleluasa
0 Comments

ISNIN, 28 MAC 2022

BINTULU: Setiap masyarakat perlu mempunyai kesedaran tentang penyakit Tibi bagi mengelak penularan penyakit tibi secara berleluasa. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming, kesedaran tentang penyakit Tibi ini penting supaya ianya dapat dikawal dan pengesanan dapat dilakukan Jabatan Kesihatan. 

“Pengesanan penyakit tibi bukanlah tanggungjawab pihak Jabatan Kesihatan semata-mata. 

“Adalah menjadi tanggungjawab setiap individu yang mengalami tanda-tanda penyakit tibi supaya datang ke mana-mana Klinik Kesihatan yang terdekat supaya penyakit ini dapat dikesan dan dirawat pada peringkat awal,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan sambutan Majlis Perasmian Hari Tibi Sedunia Peringkat Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu di Balai Raya Kampung Assyakirin Fasa 1, Bintulu pada Sabtu. 

Tema Sambutan Hari Tibi Sedunia 2022 ialah “Invest to end Tibi, Save lives” yang mengingatkan masyarakat perlu untuk menangani penularan penyakit Tibi terutama dari keperluan dari sumber kewangan dan sumber manusia.

Antara aktiviti yang diadakan sempena Hari Tibi Sedunia Peringkat Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu ialah ceramah penyakit Tibi, Kuiz Tibi, Saringan Tibi, Derma Darah dan pameran Tibi. 

Ujar Johnny Pang lagi, setiap individu mempunyai tanggungjawab supaya memastikan pesakit tibi dapat dikesan dengan segera. 

“Sesebuah komuniti yang ada pesakit tibi yang tidak dikesan dan tidak dirawat akan menyebabkan penyebaran kepada orang lain. 

“Pesakit yang tidak dirawat ini boleh menyebarkan kuman tibi kepada 10 hingga 15 orang lain dalam masa tempoh satu tahun apabila tidak mendapatkan rawatan,” ujarnya. 

Justeru, adalah penting pesakit tibi dalam kalangan masyarakat dikesan lebih awal dan dirawat dengan segera supaya tidak menjangkiti orang lain. 

Hadir sama Ketua Seksyen Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Pejabat Kesihatan Bintulu Dr Azlan Arif Bolen, Pegawai Tadbir (Pejabat Residen Bahagian Bintulu) Harun Hatta dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Assyakirin Fasa 1, 2 dan 3. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *