Datuk Amar Jaul Samion Santuni Program Randau #DIGITALSARAWAK Di Sarikei

UKAS  > Edisi-Tengah >  Datuk Amar Jaul Samion Santuni Program Randau #DIGITALSARAWAK Di Sarikei
0 Comments

SELASA, 29 MAC 2022

SARIKEI: Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion telah menyantuni Program Randau #DIGITALSARAWAK di Rumah Nyuka, Lubok Lemba, Ulu Sarikei pada Selasa.

Beliau turut disertai oleh Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri (UPPN), Michael Ronnie Langgong, Timbalan Residen Bahagian Sarikei, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, dan Pegawai Daerah Sarikei, Christopher Ranggau Unting.

Antara pengisian program tersebut termasuk taklimat mengenai Sarawak ID dan Portal Kerajaan Sarawak (SEG) oleh pihak UPPN dan SAINS, sesi penerangan berkenaan PANDei oleh Pustaka Negeri Sarawak, dan juga taklimat perkhidmatan bantuan kebajikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei.

Selain itu, ia turut menghimpunkan pelbagai kaunter agensi Kerajaan dan swasta seperti Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Pendaftaran Negara, Bank Rakyat, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta Pustaka Negeri Sarawak yang telah menawarkan pelbagai perkhidmatan serta bantuan kepada masyarakat setempat.


Datuk Amar Jaul dalam ucapan beliau menaruh harapan agar program itu mampu dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk di sekitar untuk mengetahui dan memahami perkhidmatan dan juga bantuan yang disediakan oleh pihak Kerajaan.

“Walaupun Sarawak adalah dalam proses menggunakan kemudahan teknologi digital, namun kerajaan negeri tidak melupakan mereka yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet.

“Untuk tujuan itu, kaunter telah disediakan di Servis Sarawak serta pejabat-pejabat kerajaan agar rakyat masih dapat melaksanakan sebarang urusan yang antaranya termasuk pembayaran bil dan cukai tanah, serta permohonan skim bantuan kerajaan,’’ jelasnya.

Terdahulu, Datuk Amar Jaul telah melawat ke tapak Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Sarikei di mana beliau mendengar taklimat ringkas daripada Jabatan Kerja Raya Sarawak berkenaan tahap pembinaan bangunan tersebut.

Bangunan setinggi 12 tingkat itu dijangka akan menjadi rumah baharu bagi Pejabat Residen Sarikei serta pelbagai jabatan dan agensi kerajaan Negeri Sarawak yang ada di kawasan berkenaan. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *