Raja Permaisuri Agong Berkenan Melawat Muzium Budaya Borneo

UKAS  > Edisi-Selatan >  Raja Permaisuri Agong Berkenan Melawat Muzium Budaya Borneo
0 Comments

SELASA, 29 MAC 2022

KUCHING: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meneruskan lawatan rasmi ke Sarawak dengan melawat Muzium Budaya Borneo di sini pada Selasa.

Raja Permaisuri Agong tiba di muzium tersebut kira-kira pukul 5 petang dan disambut oleh isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Baginda berkenan melawat muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara itu bagi melihat dan merasai sendiri keistimewaan pameran sejarah semula jadi, arkeologi dan budaya yang ada di Sarawak termasuk keindahan seni dan kraf.

Berkeluasan lebih daripada 6,000 meter persegi ruang pameran dan lebih kurang 31,000 meter persegi keluasan lantai, Muzium Budaya Borneo yang baru sahaja dirasmikan dan dibuka kepada umum itu akan menjadi destinasi wajib dikunjungi pelancong yang tiba di negeri ini. 

Turut mengiringi Baginda dalam lawatan itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri, Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar dan Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Perhubungan Negeri Persekutuan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong berkenan mengunjungi Syarikat Jasmin Jawahar, sebuah premis menjual pelbagai jenis kain dan songket yang cantik di samping menawarkan harga yang berpatutan di Lebuh India di sini. -EDISI UKAS


Sent from Quick notepad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *