Mahu Jadikan Sarawak Sebagai ‘Sport Power House’ – Dr Ripin

UKAS  > Edisi-Utara >  Mahu Jadikan Sarawak Sebagai ‘Sport Power House’ – Dr Ripin
0 Comments

SELASA, 29 MAC 2022

MIRI: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan akan bekerjasama dengan semua persatuan belia di Sarawak bagi mengadakan program dan aktiviti sukan. 

Timbalan Menteri Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan) Dr Ripin Lamat berkata, ini sebagai menyahut seruan Premier Sarawak dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan yang mahu menjadikan Sarawak sebagai negeri pengeluar atlet berbakat untuk negara. 

“Kita di kementerian dan harapan kita di negeri Sarawak ialah menjadi ‘sport power house’ iaitu negeri pengeluar atlet sukan di peringkat antarabangsa. 

“Ini adalah sasaran kita bagi tahun 2030,” katanya semasa berucap merasmikan Pertandingan Memancing Sarawak X-Tive Tahun 2022 di Kuala Miri pada Ahad. 

Mengulas mengenai penganjuran program ini, Dr Ripin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir melahirkan rasa gembira di atas sambutan yang diterima dan menyifatkannya sebagai sukan riadah bersama keluarga. 

Dalam pertandingan itu, Norsin Bujang dinobatkan sebagai pemenang apabila berjaya mendaratkan ikan Bawal Emas seberat 2.63 kilogram dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, diikuti tempat kedua Peter Ajeng Wan  berjaya menaikan ikan Buntal seberat 2.33 kilogram yang membawa pulang wang tunai RM2,000, tempat ketiga Zainal Ahmad memperoleh ikan Bawal Emas seberat seberat 1.410 kilogram membawa hadiah RM1,000 dan Mahaguru Pancing menduduki tempat keempat dengan memperoleh ikan Pari seberat 1.090 kilogram dan membawa pulang hadiah RM500. 

Sementara itu, pemenang tempat ke 5 hingga 10 masing-masing menerima wang tunai RM150 dan tempat ke-11 hingga 30 turut membawa pulang wang tunai RM100 bagi setiap seorang. 

Seramai 343 orang peserta telah menyertai pertandingan memancing ini anjuran  Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) dengan kerjasama Belia Kampung Pujut (BKP) dan Kelab Lanun Langit.

Pada majlis itu, Dr Ripin mengumumkan peruntukan sebanyak RM3,000 masing-masing kepada Belia Kampung Pujut (BKP) dan Kelab Lanun Langit bagi menjayakan program ini.

Hadir sama Pemangku Pegawai Penguasa MYSS Miri Nor Khalida Abu Bakar, Pegawai Belia dan Sukan Miri Roley Lagir, Pengerusi BKP Rafi Nordin dan Pengerusi Kelab Lanun Langit Abdul Halim Abdul Hamid.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *