Manfaatkan Teknologi Digital, Elak Terpedaya Dengan Jenayah ‘Money Scams’ Dan ‘Love Scams’

UKAS  > Edisi-Utara >  Manfaatkan Teknologi Digital, Elak Terpedaya Dengan Jenayah ‘Money Scams’ Dan ‘Love Scams’
0 Comments

SELASA, 29 MAC 2022

LIMBANG: Penganjuran Program K-Komuniti Literasi Kewangan Komuniti yang diadakan ini sangat menarik sesuai dengan isu-isu semasa yang dihadapi masyarakat ketika ini. 

Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata, tajuk ‘money scams’ sangat bertepatan kerana perbuatan itu semakin menjadi dengan sindiket-sindiket terancang untuk memperdayakan mangsa-mangsanya. 

“Sering kali kita dengar mangsa penipuan ini mengalami kerugian sehingga puluhan ribu ringgit dan kebanyakannya melibatkan golongan wanita yang diperdaya melalui ‘love scams’ secara dalam talian. 

“Justeru, para peserta digesa agar sentiasa berhati-hati supaya tidak diperdaya oleh penipu-penipu di luar sana,” katanya

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program K-Komuniti Literasi Kewangan Komuniti anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Limbang di Dewan Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS Limbang pada Sabtu. 

Dalam pada itu, beliau mengharapkan para peserta memanfaatkan ilmu pengurusan kewangan yang telah dipelajari ini demi masa depan dan mengingatkan agar menyertai pelaburan yang sah dari segi undang-undang.

Datuk Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang juga menggesa usahawan di daerah Limbang supaya menggunakan sepenuhnya ruang dan peluang di dalam media sosial bagi memasarkan barangan mereka. 

Jelasnya, kerajaan menggalakkan masyarakat terlibat secara langsung dalam ekonomi digital yang mana impaknya bukan sahaja kepada peniaga tetapi kepada anak-anak muda kita yang bekerja sebagai runner, Foodpanda, Grabfood dan sebagainya.

Hadir sama Pemangku Timbalan Residen Bahagian Limbang Aspalela Mohamad Sahmoni, Timbalan Pengarah Kewangan dan Pembangunan KEMAS Negeri Sarawak Fatimah Rosli, Pengarah Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sarawak Mohd Syafiq Anas Abdullah, Pengarah MARA Negeri Sarawak Dr. Azmi Amat Murjan dan Pegawai Eksekutif Pentadbiran KEMAS Limbang Nur Azeera Hashim.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *