Sarawak Utamakan Kelestarian Alam Sekitar Melalui SDG

UKAS  > Edisi-Utama >  Sarawak Utamakan Kelestarian Alam Sekitar Melalui SDG
0 Comments

SELASA, 29 MAC 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengutamakan kelestarian alam sekitar di negeri ini melalui Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, ia akan meneruskan pertumbuhan ekonomi yang seimbang dengan pendekatan ke arah pembangunan sumber asli termasuk ‘Sustainable Sarawak Blueprint’ atau Rangka Tindakan Sarawak Mampan untuk membimbing semua agensi kerajaan, perniagaan dan komuniti dalam mencapai matlamat kelestarian.

Jelasnya, rangka tindakan tersebut bakal menangani isu berkaitan pemuliharaan biodiversiti dan pengurusan sumber asli serta penyesuaian perubahan iklim bagi mewujudkan persekitaran infrastruktur moden seiring dengan Revolusi Perindustrian Ke-4 Negara.

“Sumber semulajadi dan kawasan hutan di Sarawak merupakan salah satu penyerap karbon utama dan kawasan utama biodiversiti Malaysia.

“Oleh itu, bagi saya, pengurusan terancang adalah penting bagi menyokong komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus di bawah kawasan litupan hutan dan Sarawak komited ke arah pemeliharaan enam juta hektar tanah sebagai hutan kekal dan sejuta hektar sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA),” katanya ketika berucap dalam menyempurnakan Malaysian Conservation Conference 2022 (MCC) di sini pada Selasa.

Premier Sarawak menambah, persidangan selama tiga hari yang bertemakan ‘New Frontier in Conservation: Past, Present and Future’ berkenaan adalah platform untuk membincangkan pendekatan bagi cabaran yang dihadapi oleh komuniti pemuliharaan global.

“Saya berharap melalui persidangan ini, kita dapat membina hubungan antara kerajaan negeri, sektor swasta, rakan kongsi antarabangsa, institusi akademik dan komuniti tempatan supaya menghasilkan dasar serta pendekatan pemuliharaan biodiversiti berintegrasi, sosio-ekonomi pembangunan dan komuniti secara praktikal,” ujarnya.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *