MAFI anjur Luncheon bersama pemain industri

UKAS  > Edisi-Selatan >  MAFI anjur Luncheon bersama pemain industri
0 Comments

KHAMIS, 31 MAC 2022

KUCHING: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengadakan Majlis Luncheon Talk Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bersama pemain industri di Negeri Sarawak.

MAFI dalam kenyataan pada Khamis berkata majlis itu bertujuan memperkukuhkan agenda Sekuriti Makanan Negara menerusi idea, pandangan serta cadangan para pemain industri dalam memacu hala tuju sektor agromakanan khususnya berkaitan sekuriti makanan supaya seiring dengan keperluan semasa.

Ia juga bagi membantu para pemain industri di Sarawak untuk bangkit semula setelah berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang banyak memberi kesan kepada industri makanan khususnya.

Program tersebut melibatkan Datuk Seri Ronald Kiandee selaku panel sesi dialog dan turut disertai Timbalan Menteri I MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Permodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Maclaine @ Martin Ben.

Selain itu, program itu melibatkan pemain industri dalam sektor agromakanan meliputi subsektor perikanan, tanaman, ternakan dan keseluruhan rantaian agromakanan termasuk jabatan dan agensi lain yang berkepentingan dalam sektor agromakanan.

Pemilihan tema “Permodenan dan Produktiviti Menjamin Sekuriti Makanan” adalah selaras dengan penekanan melalui pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 (2021-2030).

Difahamkan, sesi Luncheon Talk di Kuching Sarawak merupakan salah satu daripada pengisian Jelajah Agromakanan yang diadakan oleh MAFI di mana program sama turut diadakan di Endau, Johor pada Februari yang lalu.

Dalam pada itu, turut diadakan penyerahan Dividen Ahli Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (PENESA) yang berjumlah RM192,032.10 dan Peruntukan Projek Sportfishing KUNITA Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Satang Biru berjumlah RM50,000.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd dan wakil-wakil kementerian dan Jabatan serta para pemain industri di Sarawak.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *