KHAMIS, 14 APRIL 2022

MARUDI: Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr. Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak telah melakukan lawatan kerja pertama ke daerah Marudi pada Rabu.

Beliau turut diiringi Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kesihatan Awam Micheal Tiang Ming Tee.

Dalam lawatan kerja itu, Dato Sri Dr. Sim telah mengadakan mesyuarat tertutup bersama dengan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Marudi bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan dan isu ketiadaan doktor pakar di Hospital Marudi serta turut membincangkan isu politik semasa.

Selesai mesyuarat, beliau dan rombongan telah mengadakan lawatan ke Majlis Daerah Marudi dan meluangkan masa lebih kurang sejam untuk mendengar taklimat serta rancangan pembangunan yang akan diadakan bagi mengindahkan bandar Marudi.

Selepas taklimat itu, Dato Sri Dr. Sim berkata, beliau akan memastikan segala masalah yang dihadapi oleh Majlis Daerah Marudi mendapat perhatian sewajarnya daripada Kerajaan Sarawak.

Ujarnya, beliau akan memaklumkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tempatan khususnya ADUN Marudi Datu Dr Penguang Manggil dan ADUN Mulu Dato Gerawat Gala berkenaan perkara tersebut.

Tambah beliau lagi, perkara berkaitan juga akan dimaklumkan kepada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) dan agensi-agensi kerajaan yang lain berkaitan sistem pembentungan dan pembuangan sampah domestik.

Selain itu katanya, permohonan dan cadangan untuk membina tempat pelupusan sampah bagi setiap rumah panjang akan diambil perhatian serius kerana ia melibatkan alam sekitar.-EDISI UKAS

add comment