Kerajaan Sarawak Peruntuk Dana Bina Empat Sekolah, Laksana Kerja Baik Pulih

UKAS  > Edisi-Selatan >  Kerajaan Sarawak Peruntuk Dana Bina Empat Sekolah, Laksana Kerja Baik Pulih
0 Comments

SABTU, 14 MEI 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) sedang membangunkan empat buah sekolah baharu di Sarawak.

Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datu Kameri Affandi berkata, Kerajaan Sarawak juga turut melaksanakan kerja membaik pulih dan bina baru sekolah.

Jelasnya, ini juga termasuk menyumbangkan peralatan mengajar kepada guru dan sekolah termasuk pembangunan IT iaitu ‘Raspberry Pi’.

Beliau juga berharap agar MEITD boleh menyumbang pelbagai program seperti Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) dalam pembentukan akademik oleh para guru.

“Setakat ini Kerajaan Sarawak telah memberi peruntukan untuk membina empat buah sekolah baharu.

“Di samping itu, kita telah pun mengadakan program baik pulih di bawah projek RM1 billion untuk sekolah-sekolah dan juga menyelesaikan masalah tapak tanah bagi meningkatkan kesejahteraan pembangunan pendidikan khususnya di Sarawak,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Makan Malam ‘welcoming’ Pegawai Pendidikan Daerah Bau Dan Ramah Tamah Aidilfitri 2022 di Hotel Raia, Kuching pada Jumaat.

Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan tahniah di atas pelantikan Pegawai Pendidikan Daerah Bau yang baru iaitu Edward Ngelai sambil berharap pelantikan tersebut dapat membentuk lebih ramai guru cemerlang di Daerah Bau. 

Serentak dengan majlis itu juga, pihak PPD Bau turut mengagihkan sumbangan kepada golongan asnaf di Daerah Bau.  

Sumbangan berbentuk wang tunai itu dihulurkan kepada seramai 135 asnaf di Bau yang disumbangkan oleh Bank Simpanan Nasional, Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam dan Baitulmal melalui wakil penerima, Jeffry Layang.

Hadir sama Pengarah Negeri BSN Sarawak, Amri Ahmad. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *