JUMAAT, 10 JUN 2022

MUKAH: Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam mahupun swasta disarankan agar melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, kesukarelawanan memupuk nilai sukarela dalam masyarakat dan mengenal pasti nilai kepimpinan dalam komuniti.

Katanya, kesukarelawanan dapat membantu mengenal pasti isu-isu setempat dan menghasilkan penyelesaian yang bersifat tempatan melalui penglibatan langsung daripada komuniti pada peringkat akar umbi sekali gus mempertingkatkan lagi kerjasama komuniti dan agensi kerajaan.

Tambah Royston, antara objektif lain kesukarelawanan adalah membentuk kerjasama masyarakat atau agensi, modal Insan, pemerkasaan komuniti dan menyemai budaya positif dalam masyarakat.

Selain itu jelasnya lagi, ia adalah untuk memastikan kelancaran program yang dijalankan dengan jayanya.

Beliau berkata demikian dalam program Sembang Santai ‘Kepentingan Kemahiran Insaniah Ke Arah Alam Pekerjaan’ anjuran Jabatan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi, Politeknik Mukah, Sarawak di Dewan Kuliah Utama, Politeknik Mukah pada Jumaat.

Tambah Royston lagi, kesukarelawanan akan membolehkan pelajar mendapat maklumat serta pengetahuan, kemahiran dan kemampuan yang baharu, pengalaman, menjalin hubungan setiakawan, membina jaringan social serta membina keyakinan diri.

Katanya, pendidikan dan kerjaya merupakan dua elemen yang penting dalam kehidupan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Mukah, Iskandar Reduan dalam ucapannya berkata penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET kini menjadi pilihan.

Jelasnya, TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri.

Selain itu, ia bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu seperti teknologi maklumat, kejuruteraan dan perdagangan. – EDISI UKAS

add comment