Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Daerah Lundu Tingkat Mutu Perkhidmatan Penjawat Awam

UKAS  > Edisi-Utama >  Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Daerah Lundu Tingkat Mutu Perkhidmatan Penjawat Awam
0 Comments

SABTU, 11 JUN 2022

LUNDU: Pembinaan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Daerah Lundu bakal meningkatkan mutu perkhidmatan penjawat awam di peringkat daerah kepada komuniti dan penduduk setempat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembinaan baharu bangunan itu sangat diperlukan kerana ia seiring dengan pembangunan yang dialami oleh daerah Lundu.

“Saya difahamkan, bangunan pejabat Daerah Lundu kini sedang menumpang di bawah bangunan Dewan Suarah.

“Oleh itu, kita memberi satu usaha untuk membangunkan pusat pentadbiran baru di Lundu ini.

“Lundu telah berkembang sebagai pusat yang agak strategik dalam pembangunan ekonomi Sarawak khsususnya dalam sektor pelancongan, maka kita harus mempunyai bangunan kerajaan yang cantik dan baik dari sudut strukturnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis pecah tanah Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Daerah Lundu di sini pada Sabtu.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, bangunan itu akan menempatkan semua pejabat-pejabat kerajaan di bawah satu bumbung supaya dapat bekerja dalam suasana yang kondusif.

Sementara itu, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato’ Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki ketika berucap memberitahu, bangunan itu kelak akan menjadi pusat sehenti bagi memberikan perkhidmatan kepada komuniti dan penduduk setempat.

“Bangunan pentadbiran yang akan kita bina ini akan dibuat dengan satu pendekatan bersepadu yang bukan hanya menempatkan pejabat kerajaan negeri tetapi juga pejabat kerajaan persekutuan supaya rakyat akan mendapat perkhidmatan melalui pusat sehenti.

“Ini adalah satu pendekatan yang akan kita bangunkan melalui pembinaan pusat pentadbiran ini,” ujar beliau.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi II (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr. Hazland Abg Hipni, Ahli Parlimen Santubong Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ADUN Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Ik Pahon Joyik, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Abdullah Julaihi, Residen Kuching Datu Sherrina Hussaini dan Pegawai Dearah Lundu Gustian Durani.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *