RM425,000 Diperuntuk Bagi Kampung-Kampung Sekitar Bau

UKAS  > Edisi-Selatan >  RM425,000 Diperuntuk Bagi Kampung-Kampung Sekitar Bau

ISNIN, 20 JUN 2022

BAU: Geran sejumlah RM425,000 telah diperuntukkan kepada Kampung Suba Bau, Kampung Suba Bandar, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Masyarakat Bidayuh Pekan Bau serta kawasan sekitar baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Henry Harry Jinep memberitahu, jumlah tersebut diberikan di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi tahun 2022.

“Daripada jumlah tersebut, peruntukan RTP sebanyak RM200,000 diluluskan untuk Kampung Suba Bau bagi membina tapak letak kenderaan manakala RM5,000 diluluskan di bawah MRP untuk tujuan bantuan wang ihsan pelajar.

“RM10,000 pula diberikan kepada pihak JKKK di sini bagi melaksanakan aktiviti tahunan,’’ jelasnya pada Majlis ‘Ngarom Apresiasi Duoh Pirami Gawea Kampung Suba Bau’ bertempat di dewan serbaguna kampung tersebut di sini pada Sabtu.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru meluluskan RM200,000 di bawah RTP untuk Kampung Suba Bandar bagi pembinaan dewan serbaguna manakala peruntukan MRP sebanyak RM5,000 diberikan kepada JKKK kampung itu.

Seterusnya, peruntukan MRP sebanyak RM5,000 telah diluluskan untuk JKKK Masyarakat Bidayuh Pekan Bau dan kawasan sekitar bagi mengadakan sebarang aktiviti tahunan.

Dalam perkembangan lain, Dato Henry menggesa masyarakat untuk terus mengekalkan sokongan terhadap Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum akan datang supaya lebih banyak bantuan dan peruntukan dapat disalurkan pada masa depan.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam; Penghulu Masyarakat Bidayah Pekan Bau dan sekitarnya, Christina Opoum; Ketua Kaum Kampung Suba Bau, Ini Jitep dan Ketua Kaum Kampung Suba Bandar, William Morfor Misek. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *