Program Border CERT Beri Keyakinan Kepada Komuniti Bertindak Secara Sistematik Semasa Kecemasan

UKAS  > Edisi-Selatan >  Program Border CERT Beri Keyakinan Kepada Komuniti Bertindak Secara Sistematik Semasa Kecemasan
0 Comments

SELASA, 21 JUN 2022

SRI AMAN: Program Border Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT) akan memberikan keyakinan kepada komuniti untuk bertindak secara sistematik apabila berlaku kejadian kecemasan atau bencana.

Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Elvis Didit menyeru agar semua peserta mempunyai sikap tanggungjawab dan komitmen yang tinggi terhadap pasukan ini agar ianya boleh memainkan peranan sebagai sebahagian daripada anggota penyelamat.

“Oleh yang demikian, adalah sangat wajar bagi program CERT diadakan di kawasan ini  demi memberikan keyakinan kepada para penduduk untuk bertindak secara sistematik apabila berlaku sebarang kecemasan atau bencana.

 “Di sini saya ingin menyeru kepada mereka yang telah diberi amanah agar mempunyai sikap tanggungjawab dan komitmen yang tinggi terhadap pasukan kerana ianya boleh menjadi sebahagian daripada anggota penyelamat apabila berlakunya kejadian yang tidak diingini.

“Meskipun khidmat ini merupakan kerja sukarela , namun anggaplah ianya sebagai sumbangan ikhlas kita sesama insan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Border CERT kawasan daerah Sri Aman Siri 2 di Dewan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis Tini, Batu Lintang di sini pada Isnin.

Tambah beliau, dengan adanya Pasukan Border CERT ini, ia akan memberi nafas baharu kepada Badan Sukarelawan yang sedia ada seperti Jabatan Sukarelawan (RELA), Rukun Tetangga, Rakan Kop, Pasukan Bomba Sukarela dan Pasukan Bomba Komuniti di Man mereka sama-sama dapat berganding bahu memberi sebarang bantuan. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *