Pesta Medamit Buka Lebih Banyak Aktiviti Ekonomi Dan Eratkan Perpaduan Pelbagai Kaum

UKAS  > Edisi-Utara >  Pesta Medamit Buka Lebih Banyak Aktiviti Ekonomi Dan Eratkan Perpaduan Pelbagai Kaum
0 Comments

SELASA, 5 JULAI 2022

LIMBANG: Penganjuran Pesta Medamit membolehkan msyarakat pelbagai kaum di daerah Limbang berkumpul dan mengeratkan perpaduan antara satu sama lain.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata, keputusan kerajaan melaksanakan peralihan fasa endamik bermula 1 April lepas membolehkan banyak aktiviti ekonomi dibuka dan program serta aktiviti diadakan. 

Katanya lagi, ini membolehkan masyarakat mula menjalani kehidupan seperti biasa dan dalam masa sama langkah pencegahan Prosedur Operasi Standard (SOP) terus diamalkan. 

“Impak kepada penganjuran Pesta Medamit ini membolehkan usahawan dan peniaga-peniaga kecil dapat kembali berniaga untuk memulihkan perniagaan mereka yang terjejas dengan memperoleh keuntungan. 

“Semasa pandemik COVID-19 melanda negara, banyak perniagaan yang ditutup dan ada kedai yang tidak dapat meneruskan perniagaan disebabkan tiada pelanggan, bekalan barangan dan sebagainya. 

“Jadi, hari ini kita berasa syukur rakyat dapat bangun kembali dan meneruskan kehidupan serta perniagaan mereka,” katanya semasa berucap merasmikan Karnival Permainan Tradisional dan Mala Kebudayaan Sempena Pesta Medamit 2022 anjuran SADIA dan SEBERKAS Batu Danau dengan kerjasama SIDS dan Pejabat Residen Limbang di sini pada Sabtu. 

Pelbagai acara menarik telah diadakan sepanjang dua hari penganjuran dari 2 hingga 3 Julai lepas antaranya pertandingan permainan Tradisional Iban, Pekit Kumang Gawai, pertandingan futsal, lumba perahu, makan malam, persembahan kebudayaan dan pelbagai aktiviti lain lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap pada 1 Ogos ini, negara Brunei Darussalam akan membuka sempadan mereka sekaligus membolehkan rakyat di Limbang dan Lawas dapat melaluinya untuk ke Miri. 

Mengenai status pelaksanaan Projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR) Datuk Hasbi Habibollah yang juga Ahli Parlimen Limbang menjelaskan projek itu terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama bermula dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng Lawas dan fasa kedua jajarannya dari Long Lopeng ke Rh Aling, Limbang dan dari Rh Aling ke Mulu. 

“SSLR ini merupakan jalan alternatif ke Miri tanpa melalui negara Brunei di samping meningkatkan sosioekonomi penduduk di kawasan pedalaman di Utara Sarawak. 

“Projek sepanjang 421km itu yang merangkumi kawasan pergunungan yang tinggi dan lembah yang dalam dan curam, dan danau dijangka siap pada tahun 2028 jika tiada masalah di peringkat pelaksanaan,” jelas beliau. 

Pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan berjumlah RM30,000 untuk Jawatankuasa Pesta Medamit. 

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pengerusi SADIA Cawangan Limbang Jerry Seraie, Temenggong Willie Marum Liaw dan Temenggong Nicholas Boyok Pura.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *