Datuk Amar Awang Tengah Ketuai Delegasi Sarawak ke Amerika Syarikat

UKAS  > Edisi-Utama >  Datuk Amar Awang Tengah Ketuai Delegasi Sarawak ke Amerika Syarikat
0 Comments

SELASA, 19 JULAI 2022

AMERIKA SYARIKAT: Delegasi kerajaan Sarawak yang diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan lawatan kerja ke Amerika Syarikat bagi pembelajaran teknikal serta dan pembangunan pesisir pantai dan pembaharuan bandar di Los Angeles.

Datuk Amar Awang Tengah dalam satu kenyataan media pada Selasa memberitahu, lawatan kerja dari 16 hingga 22 Julai depan juga bagi penyediaan garis panduan dan polisi dasar pengurusan pesisir pantai serta perbaharuan bandar di Sarawak kelak.

Dalam pada itu, delegasi kerajaan Sarawak juga mengadakan kunjungan hormat terhadap Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles, Anil Fahriza Adenan, bersama Konsul Muda Faidzul Shuib dan Konsul MATRADE Los Angeles, Zuaziezie Zulkefli.

Beliau juga berkongsi maklumat dengan pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles berhubung inisiatif kerajaan Sarawak untuk menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030 menerusi strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

Katanya, PCDS 2030 adalah berteraskan kepada struktur ekonomi, kemudahan perniagaan, sasaran perbelanjaan, mengoptimumkan aset dan modal insan, digital dan pelaksanaan, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

Pada masa sama ujar beliau, pertemuan tersebut turut membincangkan potensi hubungan dan kerjasama kerajaan Sarawak dan Amerika Syarikat dari aspek peluang pelaburan yang ditawarkan di Sarawak kepada pelabur asing.

Tambah beliau, ini merangkumi pelaburan dalam sektor perkayuan, pelombongan, industri petrokimia dan tenaga boleh diperbaharui

Turut mengiringi rombongan kerajaan Sarawak ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh, Penasihat, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri & Pelaburan Sarawak, Datuk Mohd. Naroden Majais serta para pegawai kanan dari Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak dan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *