Yayasan John Jinep Berjaya Bantu Hampir 300 Pelajar Sambung Pengajian Di IPTA Seluruh Negara

UKAS  > Edisi-Selatan >  Yayasan John Jinep Berjaya Bantu Hampir 300 Pelajar Sambung Pengajian Di IPTA Seluruh Negara
0 Comments

ISNIN, 25 JULAI 2022

BAU: Yayasan John Jinep telah berjaya membantu hampir 300 orang pelajar untuk menyambung pengajian di pelbagai Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara dengan pemberian bantuan kewangan sejak penubuhannya pada Disember 2014.

Melihat pada kejayaan tersebut, ia telah menarik perhatian lima organisasi swasta tempatan untuk tampil memberi sumbangan derma kepada Yayasan tersebut dalam usahanya meneruskan bantuan kepada golongan pelajar yang tidak berkemampuan dari segi kewangan setelah mendapat tawaran pengajian di IPTA pada permulaan semester pertama.

Antara penyumbang adalah Parkway Furniture Sdn. Bhd sebanyak RM20,000, Supersave (Kuching) Sdn. Bhd (RM10,000), Pekan Emas Enterprise (RM2,000) dan Kok Say Leong (RM3,000).

Penyerahan cek sumbangan itu telah disampai kepada Timbalan Setiausaha Majlis Daerah Bau selaku ahli Standing Committee Yayasan John Jinep, William Ding semasa berlangsungnya Majlis Perasmian Pub Street Lobuh Bau yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai Dan Laut) Sarawak, Dato Henry Harry Jinep pada Sabtu.

Semasa berucap, Dato Henry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru merakamkan penghargaan dan terima kasih beliau kepada penyumbang terbabit di atas inisiatif tersebut yang ingin berkongsi memajukan masa depan anak-anak tempatan.

Hadir sama di majlis itu ialah Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam, Setiausaha Majlis Daerah Bau, Ng Siang Wei, wakil Ibu Pejabat Polis Daerah Bau, Jugah Aleng, Timbalan Setiausaha Majlis Daerah Bau, William Ding serta Penghulu Kawasan Bau dan sekitarnya, Jong Kee Chiu. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *