ISNIN, 25 JULAI 2022

SERIAN: Serian Rafting Challenge Festival kali ini mencatatkan rekod penyertaan terbanyak sejak 2011 dengan 564 peserta membabitkan 141 pasukan berentap merebut gelaran juara bagi lima kategori yang dipertandingkan.

Menurut Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem, selain memperkenal dan mempromosikan tempat-tempat menarik, festival tahunan anjuran Majlis Daerah Serian itu juga memanfaatkan kekayaan alam semulajadi di sini untuk disaji kepada dunia luar.

Sebagai contoh katanya, keindahan Sungai Batang Sadong, Kampung Tema Mawang Tebedu, Kampung Tebakang Dayak Serian dan kampung-kampung sekitarnya kini terkenal sebagai salah satu lokasi di Sarawak yang mempunyai pusat sukan rekreasi yang berkonsepkan perlumbaan rakit.

Sehubungan itu, Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur itu yakin dan percaya bahawa hasrat menjadikan Serian sebagai destinasi eko-pelancongan utama di Sarawak akan dapat direalisasikan.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan Pertandingan Ratu Bilanting yang merupakan acara utama sempena Serian Rafting Challenge Festival 2022 di Perkarangan Pasar Tebakang Cin di sini pada Sabtu.

Untuk rekod, Joy Angela John Rover dimahkotakan sebagai juara Ratu Bilanting 2022 disusuli tempat kedua, Auxilia Rose Boniface dan tempat ketiga, Agnes Sipin Jabin.

Manakala, juara Serian Rafting Challenge (perlumbaan rakit) bermula dari Kampung Tema Mawang sehingga Kampung Tebakang Dayak, mengikut kategori, dimenangi oleh Puncak Mutiara II Kampung Sungan-T100 (Lelaki Terbuka), Tipen Baru N21 Tebedu-T206 (Wanita Terbuka), Gabungan Pemuda PBB N17 & N19-T311 (Belia Terbuka), Jabatan Pertanian Sarawak,Bahagian Serian-T400 (Agensi Kerajaan) dan Ranchan FC-T501 (Hotel/ Agensi Pelancongan).

Turut hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha Majlis Daerah Serian merangkap Pengerusi Pengelola,Constantine Gerald David Jonas, wakil Residen Bahagian Serian,Wee Chung Yee, Pegawai Daerah Serian,Lim Hock Meng, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak,Job Nelson serta wakil dari Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Cecilia Senja. -EDISI UKAS

add comment