RABU, 27 JULAI 2022

MIRI: Seramai 43 pegawai telah berjaya menamatkan Latihan Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB). 

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datu Khirudin Drahman, menerusi pentauliahan ini akan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan jabatan khususnya dari segi “response time” di kawasan penempatan masing-masing. 

“Ekspektasi masyarakat kini sememangnya mengharapkan Perkhidmatan Awam yang lebih responsif dan memberi perkhidmatan cepat dan tepat. 

“Oleh yang demikian, saya berharap agar tuan-tuan dapat menyumbang khidmat dan bakti tuan sebaiknya apabila mula bertugas nanti,” katanya. 

Beliau berucap merasmikan Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba bantuan Siri 2/2022 dan Perasmian Penutupan Pertandingan Kawad Kecekapan UKTK Peringkat Zon 6 Sarawak di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng, di sini pada Selasa. 

Mereka ini telah berjaya menamatkan latihan selama 10 hari bermula 17 hingga 26 Julai bagi melengkapkan 100 jam latihan sebagai Pegawai Bomba Bantuan.

Kesemua Pegawai Bomba Bantuan akan ditempatkan di beberapa BBP iaitu 16 orang di BBP Kidurong dan Lopeng, 6 orang di BBP Lawas, 1 orang di BBP Asajaya, 3 orang di BBP Samalaju, 1 orang BBP Saratok, 3 orang di BBP Mukah, 1 orang di BBP Belaga, 1 orang di BBP Tanjung Manis dan 10 orang lagi ditempatkan di Telaga Air dalam Pasukan PBB Safety Water Rescue (SWART) bermula 1 Ogos nanti. 

Dalam perkembangan sama, Datu Khirudin turut mengucapkan tahniah kepada semua pegawai Bomba yang terlibat dalam Ujian Kecergasan Taktikal Kebombaan (UKTK) peringkat Zon 6 Sarawak kali ini. 

Jelas beliau, UKTK adalah suatu program Latihan Kecergasan dan Kecekapan Kebombaan dengan prinsip mencakupi fizikal dan mental para peserta serta menjadi suatu proses berterusan bagi meningkatkan kecergasan dan kecekapan Kebombaan. 

“Menjadi hasrat jabatan agar setiap Pegawai Bomba tidak sahaja cergas, bahkan juga cerdas dari aspek pemikiran. 

“Ini kerana cabaran yang ada dalam bidang kebombaan dan penyelamatan bukan sebarangan, bukan kecil halangan dan bukan bertindak semborono,” jelasnya. 

Pertandingan UKTK tahun 2022 telah diadakan selama dua hari dari 23 hingga 25 Julai lepas di BBPt Lopeng yang disertai 4 buah balai Bomba iaitu BBP Lopeng, Miri, Marudi dan Batu Niah.

Hadir sama Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Handeri Ardimansyah, Pemangku Ketua Zon 6 Sarawak Ahmad Nizam Sapiee dan Ketua-ketua Balai Bomba.-EDISI UKAS

add comment