SABTU, 30 JULAI 2022

PADAWAN: Penganjuran program berunsurkan kebudayaan dan kesenian perlu dipertingkatkan semula di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sejak pandemik COVID-19 menyerang negara dua tahun lalu, industri muzik tanah air seakan-akan suram dan sepi setelah menghadapi kekangan mengadakan sebarang aktiviti hiburan secara fizikal.

Bagaimanapun tegasnya, fasa peralihan ke endemik kini mengubah dan memberi warna baharu kepada industri seni untuk terus berkarya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Pertandingan Tarian Tradisional Bidayuh anjuran Persatuan Segu Bunuk Penrissen sempena Bidayuh Mystique Festival 2022 di Saint Paul Parish Hall Bunuk, Jalan Puncak Borneo di sini pada Jumaat.

Dato Sri Karim memberitahu, beliau akui begitu ramai belia yang berbakat dan memerlukan titik permulaan untuk mengembangkan kebolehan yang ada dalam seni musik, tari dan sebagainya.

Sehubungan itu beliau amat gembira dan menyokong sepenuhnya pertandingan kebudayaan seumpamanya dianjur kerana ia bertepatan dengan kehendak dan keperluan anak muda pada masa kini.

“Saya boleh lihat banyak belia di sini mempunyai bakat serta mahu meningkatkan kepakaran mereka dalam musik, tradisi dan sebagainya.

“Sememangnya, kerajaan mempunyai peruntukan khas untuk sektor kebudayaan dan kesenian.

Oleh itu, beliau menggalakkan orang ramai untuk mencuba mendaftar bagi mendapatkan peruntukan tersebut kerana masih terdapat banyak yang tidak menyedari perkara tersebut.

“Sekiranya anda memerlukan sebarang keperluan untuk mengatur atau menambah kegunaan bagi tujuan mempertingkatkan kesenian dan kebudayaan di Sarawak, sila berhubungan dengan pihak kementerian,” tegasnya.

Bidayuh Mystique Festival 2022 yang telah berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat itu menyediakan beberapa aktiviti menarik seperti Pertandingan Dayung Remus Mystique Bidayuh, Pertandingan Masakan Tradisional Bidayuh, pameran daripada agensi kerajaan termasuk pelbagai jenis gerai jualan.

Turut hadir ialah Pemanca Bidayuh Daerah Kuching, Raymond Jihap dan Pengerusi Persatuan Segu Bunuk Penrissen, Habriel Michael Tom. -EDISI UKAS

add comment