Premier Sarawak Rasmi Surau Darul Ehsan Tun Abang Haji Openg Kampung Bunga Raya

UKAS  > Edisi-Utara >  Premier Sarawak Rasmi Surau Darul Ehsan Tun Abang Haji Openg Kampung Bunga Raya
0 Comments

KHAMIS, 4 OGOS 2022

LIMBANG: Sebelum ini, Surau Bunga Raya yang lama dan tertua dibina pada tahun 1969 itu telah tidak selamat digunakan lagi. 

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia Datuk Hasbi Habibollah, ini disebabkan tiang dan gelegar surau pada masa itu sudah dimakan anai-anai dan reput. 

Jelasnya lagi, keadaan ini sangat membimbangkan dan justeru itu beliau membuat keputusan memohon dana peruntukan kepada Kerajaan Sarawak bagi membina surau baharu. 

“Kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T dengan limpah kurniaNya serta keprihatinan YAB akhirnya meluluskan permohonan tersebut di bawah Projek Rakyat berjumlah RM750,000 bagi membina baru surau bagi menggantikan surau yang lama,” katanya dalam ucapan aluan sempena perasmian Surau Darul Ehsan Tun Abang Haji Openg Kampung Bunga Raya di Limbang pada Rabu. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang turut memaklumkan pihaknya telah mengambil keputusan menukar nama Surau Darul Ehsan ini kepada nama Surau Darul Ehsan Tun Abang Haji Openg sebagai menghargai sumbangan peruntukan dalam membina surau baharu ini. 

Mengulas mengenai surau ini, Datuk Hasbi memberitahu Surau Darul Ehsan Tun Abang Haji Openg ini telah dapat digunakan pada bulan Ramadan tahun ini dalam menunaikan solat Tarawih. 

“Surau ini telahpun dimulakan dan digunakan sehari sebelum Ramadan pada tahun ini. 

“Siap sepenuhnya dan sempatlah kita menunaikan solat Tarawih sepanjang bulan Ramadan di surau ini. 

“Saya juga berharap dengan terbinanya surau ini akan memberi manfaat kepada kita semua,” jelas beliau. 

Hadir sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah I (Pemodenan Pertanian) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *