32.8 Peratus Kes COVID-19 Baharu Di Sarawak Libat Subvarian BA.5

UKAS  > Edisi-Selatan >  32.8 Peratus Kes COVID-19 Baharu Di Sarawak Libat Subvarian BA.5
0 Comments

KHAMIS, 11 OGOS 2022

KUCHING: Subvarian BA.5 bagi COVID-19 telah dikesan menyumbang 32.8 peratus atau satu pertiga daripada jumlah kes positif COVID-19 di Sarawak sejak Jun 2022.

Menurut Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM), Universiti Malaysia Sarawak, Prof Dr David Perera, bermula 2 April hingga 13 Julai tahun ini, sebanyak 165 sampel diperoleh di seluruh negeri telah berjaya dijujukan.

Dalam laporan terbarunya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, beliau berkata kesemuanya dikesan sebagai B.1.1.529, Omicron Variant of Concern(VOC).

Ujarnya, daripada sampel tersebut, sebanyak 121 dikesan sebagai beberapa sub-keturunan kecil BA.2, satu kes dan pengesanan pertama BA.4 dan 43 sampel BA.5.

“Walaupun BA.2 VOC terus menjadi subvarian yang dikesan sepanjang tempoh pengawasan ini, peningkatan dalam pengesanan BA. 5 VOC juga diperhatikan.

“Dari awal Jun dan seterusnya, kira-kira satu pertiga (32.8 %) daripada semua pengesanan adalah daripada subvarian ini (BA.5),” jelasnya.

Beliau menambah daripada pemerhatian tersebut di Sarawak selaras dengan Omicron VOC yang sangat berjangkit di peringkat global telah menyaksikan kadar peningkatan di banyak negara.

Sehubungan itu, Dr Perera menasihatkan orang ramai untuk lebih peka dengan risiko peningkatan kadar jangkitan di negeri ini.

“Kita berharap orang ramai mempertimbangkan untuk mendapatkan dos penggalak terutamanya bagi individu yang mempunyai komorbiditi, mereka yang berumur 50 tahun ke atas dan mereka yang sebelum ini hanya menerima satu dos vaksin mRNA,” tambahnya. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *