JUMAAT, 26 OGOS 2022

BELAGA: Mangsa kebakaran Uma Seping, Long Koyan yang berlaku pada 21 Ogos lepas terus mendapat bantuan dari pelbagai pihak.

Terbaru, kerajaan negeri telah menyumbang wang ehsan berjumlah RM500 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) dari 13 pintu rumah panjang berkenaan.

Majlis ringkas anjuran Pejabat Daerah Belaga tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chuk Pai Ugon pada Khamis.

Dalam ucapannya, Kennedy Chuk Pai mewakili seluruh penduduk yang terjejas merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Sarawak terutamanya Gabungan Parti Sarawak (GPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi-agensi yang terlibat bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa kebakaran di sini.

Jelas beliau, pihaknya bersama Pejabat Daerah juga telah memohon bantuan untuk membina 13 buah rumah yang terlibat dalam kebakaran melalui bantuan bahan binaan rumah sebanyak RM70,000 bagi setiap pintu.

Ujarnya lagi, setelah mendapat kelulusan, sebanyak RM30,000 pinjaman dalam bentuk bahan binaan akan diberika  kepada 51 KIR rumah panjang itu yang ingin membina rumah baru berdasarkan borang yang dipohon.

Tambahnya lagi, pinjaman yang berupa bahan binaan tersebut untuk kemudahan mereka  memiliki rumah yang selesa dengan pembayaran RM100 sahaja pada setiap bulan.

Menyentuh sedikit mengenai isu politik semasa di mana Pilihan Raya Umum (PRU) Ke -15 yang akan diadakan nanti, beliau menyeru kepada masyarakat setempat untuk memberikan mandat kepada calon daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Wilson Ugak Kumbong untuk meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu.-EDISI UKAS

add comment