Perkhidmatan Awam Sarawak Perlu Amal Kepimpinan Berasaskan Nilai

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Perkhidmatan Awam Sarawak Perlu Amal Kepimpinan Berasaskan Nilai
0 Comments

RABU, 7 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) digesa untuk mengamalkan kepimpinan yang berasaskan kepada nilai dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas harian.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kepimpinan berasaskan nilai sudah pasti akan menerapkan nilai yang sama dalam semua pekerja, meningkatkan kesepaduan dan kesediaan mereka untuk bekerjasama.

“Pemimpin yang mengamalkan nilai-nilai ini akan menggalakkan pegawai bawahan dalam memudahkan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Ini akan meningkatkan penglibatan, prestasi dan pengekalan bakat yang cemerlang.

“Pemimpin yang tidak mementingkan diri akan sentiasa mengutamakan keperluan orang lain daripada keperluan mereka sendiri.

“Seorang pemimpin yang mempunyai nilai selalunya akan menunjukkan akauntabiliti dalam apa jua yang mereka lakukan,” katanya.

Premier Sarawak berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam Majlis Penutupan Rasmi Program Perdana: Seminar SCS Values Through Leadership 2022 di Hotel The Waterfront Kuching pada Selasa.

Ujar beliau lagi, kepimpinan berdasarkan nilai-nilai tersebut juga akan mewujudkan suasana persekitaran kerja yang mesra dan kondusif.

Dalam pada itu, beliau mahu penjawat awam untuk terus komited kepada pembudayaan enam nilai bersama SCS untuk mempercepat dan mengekalkan budaya berprestasi tinggi dalam perkhidmatan awam.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki yang turut berucap berkata, seminar yang julung kalinya dilaksanakan Perkhidmatan Awam Sarawak itu telah dihadiri oleh seramai 350 orang pegawai SCS.

“Seminar ini merupakan hasil kolaborasi di antara Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (UPPSM) dan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) yang telah dihadiri oleh 350 pegawai SCS yang terdiri daripada Human Resource Champions (HRCs), Human Resource Officers (HROs), Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) dan Pegawai-pegawai SCS Gred 41 ke atas,” ujar beliau.

Dato Sri Mohamad Abu Bakar juga memberitahu seminar ini diadakan bertujuan untuk mengingatkan setiap penjawat awam mengenai kepentingan pembudayaan enam Nilai Bersama SCS khasnya nilai integriti setiap penjawat awam SCS dan sebagai platform untuk penjawat awam SCS berkongsi pengalaman, maklumat dan konteks kaedah kepimpinan yang berkesan dan berjaya.

Selain itu katanya lagi, seminar ini juga adalah untuk memupuk prisnisp “Kepimpinan Melalui Teladan” di dalam SCS Workforce di mana pentingnya pemimpin setiap lapisan untuk memastikan Budaya Kerja Berprestasi tinggi dapat direalisasikan.

Tambah beliau, seminar berkenaan juga adalah  untuk memastikan setiap peringkat kepimpinan pentadbiran agensi kerajaan Sarawak mempunyai jati diri tinggi dalam menangani isu-isu rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan tadbir urus yang tidak telus serta untuk memberi pendedahan dan maklumat terkini tentang pembudayaan integriti dan system anti rasuah kepada penjawat awam khususnya  kepimpinan organisasi.

Antara yang hadir dalam majlis ini adalah Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya, Mantan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak  (Operasi) Datu Dr Sabariah Putit.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *