Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud Bapa Pemodenan & Pembangunan Sarawak

JUMAAT, 7 OKTOBER 2022

KUCHING: Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sememangnya merupakan tokoh Sarawak yang disegani dan telah membawa pelbagai perubahan kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di Bumi Kenyalang ini. 

Sepanjang beliau melopori bidang politik termasuk sebagai Ketua Menteri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib sentiasa menekankan satu perkara, politik pembangunan berpaksikan kesaksamaan. 

Ini adalah sebagai menyingkirkan tembok tradisi dan taraf sosial yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Kerajaan pimpinan saya ini mempunyai tanggungjawab untuk memerangi sebarang isu berbentuk perkauman kerana ia seakan barah yang mampu menyerap tenaga kita,” katanya ketika berucap di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun 1991. 

Sementara itu dalam ucapannya ketika menyempurnakan Regatta Baram pada tahun 2011, beliau menyeru masyarakat agar terus bekerjasama antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa demi menikmati faedah pembangunan dengan Sarawak mulai bergerak ke arah kemajuan ekonomi. 

Malah, perkara tersebut masih relevan sehingga ke hari ini di mana negeri ini kini mempunyai matlamat mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030. 

Tun Pehin Sri Abdul Taib lahir dalam keluarga bangsawan pada 21 Mei 1936 di bandar Miri, Sarawak. 

Latar belakang bangsawan ini dipadankan lagi dengan kecemerlangan akademik apabila beliau dianugerahkan biasiswa Colombo Plan untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Adelaide Australia. 

Namun, semangat patriotismenya sebagai anak jati Sarawak terserlah apabila beliau menolak tawaran kerja sebagai hakim dan sebaliknya kembali ke negeri yang dicintai untuk berkhidmat sebagai pendakwa raya. 

Beliau kemudiannya melakar sejarah dalam dunia politik Sarawak sebagai tokoh termuda yang mengangkat sumpah sebagai seorang Menteri pada 22 Julai 1963. 

Pada 16 Mac 1981 pula, Tun Pehin Sri Abdul Taib  dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang keempat. 

Sepanjang tempoh 33 tahun mencurahkan bakti sebagai Ketua Menteri, polisi politik pembangunan beliau telah menjurus kepada pembangunan dan kemakmuran Sarawak di mana sebarang perbalahan politik, sama ada dalaman atau luaran telah diketepikan untuk menjamin pembangunan ekonomi. 

Hasil daripada visi beliau, kadar kemiskinan di sini telah berjaya dikurangkan daripada kadar 70 peratus kepada serendah satu digit sahaja. 

Di bawah kepimpinan Tun Pehin Sri Abdul Taib juga, Sarawak telah mengalami perubahan yang dramatik dan mendadak termasuk dari aspek politik, ekonomi dan kebudayaan. 

Dengan pengalamannya terdahulu sebagai Menteri Persekutuan, beliau telah mampu menjalin perhubungan yang baik dengan Kerajaan Pusat sehinggakan berjaya meraih sokongan dan tenaga untuk membangunkan infrastruktur di negeri ini.

Bagi merapatkan jurang ketidaksamaan pula, Tun Pehin Sri Abdul Taib menitikberatkan pembangunan pendidikan dengan usaha-usaha seperti membawa masuk kampus universiti-universiti Barat dan Australia ke Sarawak.

Sebagai mengimbangi antara kawasan-kawasan bandar dan luar bandar, beliau turut menyokong perancangan bandar, perancangan sumber asli, perladangan berskala besar dan pembangunan tanah adat (NCR). 

Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) yang diperkenalkan pada tahun 2008 pula bertujuan mempelbagaikan ekonomi masa hadapan di negeri ini.

Secara keseluruhannya, polisi pembangunan Tun Pehin Sri Abdul Taib telah menjadi pencetus kepada proses pembangunan masyarakat tempatan dan ekonomi Sarawak pada masa ini dan buat tahun-tahun akan datang. -Edisi UKAS 

add comment