Kerajaan Sarawak Pentingkan Penguasaan Bahasa Inggeris

UKAS  > Edisi-Utara >  Kerajaan Sarawak Pentingkan Penguasaan Bahasa Inggeris
0 Comments

SELASA, 18 OKTOBER 2022

MIRI: Kerajaan Sarawak mementingkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat tempatan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn memberitahu, salah satu usaha kerajaan Sarawak ialah ke arah matlamat tersebut ialah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah.

“Sarawak memulakan pelaksanaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris pada 2020, bermula dengan kelas Darjah 1 di semua 1,048 sekolah rendah kerajaan.” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Sarawak English Language Education Symposium (SELES) 2022 di sebuah hotel di sini pada Isnin. 

Datuk Roland Sagah menambah, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) telah melabur RM18 juta untuk menyokong pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. 

Katanya lagi, ini termasuk pencetakan buku teks dan buku kerja baharu  bagi pelajar Darjah 1, 2 dan 3 dan menyediakan Buku Panduan Guru untuk kedua mata pelajaran berkenaan.

Difahamkan, tema program anjuran MEITD itu iaitu “Beyond Recovery Towards Opportunity” menjurus kepada penerokaan kreativiti dalam pembelajaran bahasa serta mengorak strategi dan pendekatan pengajaran. 

Seramai 120 orang melibatkan cikgu dari seluruh zon utara Sarawak hadir ke program tersebut yang berlangsung dari 17 hingga 19 Oktober 2022.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap MEITD, Datu Kameri Affandi, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Dr. Les Met, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembelajaran PPD Miri, Wong Kung Kui dan wakil British Council, Kate Chodzko. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *