Pertingkat Tahap Keselamatan Alat Bantu Pelayaran Di Pelabuhan Bintulu

UKAS  > Edisi-Utara >  Pertingkat Tahap Keselamatan Alat Bantu Pelayaran Di Pelabuhan Bintulu
0 Comments

SABTU, 22 OKTOBER 2022

BINTULU: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) komited untuk mempertingkatkan tahap keselamatan Alat Bantu Pelayaran (ATONS) yang digunakan di Pelabuhan Bintulu.

Menterinya Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ia adalah penting untuk mengekalkan rekod sifar kes kemalangan di pelabuhan berkenaan.

“Oleh itu, satu perbincangan khas perlu diadakan antara Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) dan Lembaga Boya dan Api Sarawak (LBAS) mengenai perkara ini,” katanya.

Dato Sri Lee berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja rasmi bersama rombongan MOTS ke Pelabuhan Bintulu di sini pada Khamis.

Beliau menambah, Pelabuhan Bintulu merupakan sebuah pelabuhan antarabangsa milik Malaysia dan diiktiraf sebagai Pelabuhan ketiga terbesar di dunia bagi pengeksportan gas asli cecair (LNG).

Oleh itu katanya, adalah menjadi keutamaan pihak kementerian untuk memastikan keselamatan kesemua kapal terutamanya kapal LNG yang bergerak masuk dan keluar dari pelabuhan adalah terjamin.

Jelas Dato’ Sri Lee lagi, ATONS yang digunakan seperti pelampung serta pelbagai lampu dan tanda, hendaklah dilengkapi dengan teknologi yang terkini dan diselenggara dengan baik serta menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh International Association of Marine Aids to Navigation and Lighthouse Authorities (IALA).

Tegas beliau, fasiliti keselamatan yang sudah lama seharusnya diganti agar tidak menjejaskan keselamatan kapal yang datang beroperasi ke Pelabuhan Bintulu.

Pada lawatan kerja rasmi tersebut, rombongan telah diberikan penerangan oleh Penolong Pengurus Besar (Operasi), Lembaga Pelabuhan Bintulu Kapten Zakhir Khan Yusop.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Dato Ir. Alice Jawan Empaling serta Timbalan Pengerusi Lembaga Boya dan Api Sarawak (SBLB) merangkap Pengarah Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak Mohamad Marzuki Brahim.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *