DBOS Akan Terus Beri Tumpuan Sedia Pembiayaan Kepada Projek Strategik

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  DBOS Akan Terus Beri Tumpuan Sedia Pembiayaan Kepada Projek Strategik
0 Comments

SABTU, 29 OKTOBER 2022

KUCHING: Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) akan terus memberi tumpuan kepada mandat semasanya untuk menyediakan pembiayaan kepada projek strategik dalam tempoh lima tahun akan datang

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau percaya bahawa pada masa itu, Sarawak akan mencapai tahap pembangunan infrastruktur dan kemakmuran ekonomi yang tinggi.

“DBOS setakat ini telah memudahkan dan menyediakan negeri ini dengan kelonggaran fiskal dalam menyusun strategi pembangunannya di mana pembiayaan alternatif akan memastikan dana sedia ada untuk mengekalkan momentum pembangunan berterusan tanpa ketidakpastian berebut untuk mendapatkan pembiayaan daripada dalaman atau daripada kerajaan Persekutuan atau bergantung kepada pasaran awam.

“Sokongan pembiayaan oleh DBOS telah mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur awam utama terutamanya projek yang boleh meningkatkan dan membuka kawasan luar bandar separa terpencil dan terpencil yang masih sangat memerlukan jalan raya, aksesibiliti, bekalan air dan elektrik,” katanya dalam Majlis Ulangtahun DBOS Ke-5 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Sabtu.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, sejak beroperasi, jumlah kemudahan kredit yang telah diluluskan untuk projek strategik negeri berjumlah lebih RM15 bilion meliputi projek di seluruh Sarawak dan merangkumi beberapa sektor utama yang diberi mandat.

Ujar beliau, ia telah membawa impak yang besar dalam kemajuan ekonomi Sarawak terutamanya kepada masyarakat luar bandar di negeri ini.

Selain itu katanya, beliau turut menyokong inisiatif perancangan masa depan DBOS untuk menjalankan perniagaan dan aktiviti perbankan patuh Syariah dan pembiayaan hijau untuk keutamaan pembangunan mampan serta mengenal pasti peluang untuk sindiket pinjaman.

Hadir sama dalam majlis ini ialah isteri Premier Sarawak Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Pengerusi DBOS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *