Kerajaan Sarawak Sentiasa Ambil Berat Keperluan Rumah Ibadat

UKAS  > Edisi-Utara >  Kerajaan Sarawak Sentiasa Ambil Berat Keperluan Rumah Ibadat
0 Comments

AHAD, 6 NOVEMBER 2022

LAWAS: Kerajaan Sarawak akan terus memberikan peruntukan kepada semua rumah ibadat tanpa mengira agama di negeri ini

Jelas Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ini termasuklah masjid dan surau dan begitu juga rumah ibadah lain serta persatuan. 

“Walaupun kita berbagai kaum, kita dapat hidup dalam keadaan harmoni dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Ini yang akan kita terus pertahankan. 

“Kita akan terus mengekalkan kebebasan beragama dan adat budaya masing-masing.

“Kita mahu semuanya mengamalkan agama masing-masing kerana inilah asas kepada pembentukan akhlak yang baik,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Rumah Ibadah dan Taman Rekreasi Qing Sui Yuan Lawas di Merapok di sini pada Sabtu. 

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mahu isu agama tidak dijadikan bahan politik semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana di Sarawak rakyatnya hidup dalam masyarakat majmuk dan bertolak ansur. 

“Bukan sesuatu yang ganjil di Sarawak ini ada yang beragama Islam dan beragama Kristian boleh hidup di bawah satu bumbung yang sama seperti di rumah panjang.  

“Inilah keadaan kita yang sentiasa bertolenrasi dan saling menghormati,” jelasnya. 

Hadir sama calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Lawas Dato’ Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Pengerusi Pengelola Kaunselor Liaw Hoe Peng dan Setiausaha Premier Sarawak Kaunselor Awangku Zainal Abidin Dato Pengiran Jawa. EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *