PRU15: Dua Peti Undi Dari SK Long Napir Selamat Sampai Pagi Ahad, GPS Menang Di Parlimen Limbang

UKAS  > Edisi-Utara >  PRU15: Dua Peti Undi Dari SK Long Napir Selamat Sampai Pagi Ahad, GPS Menang Di Parlimen Limbang
0 Comments

ISNIN, 21 NOVEMBER 2022

LIMBANG: Pengumuman rasmi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Limbang hanya dapat diumumkan pada jam 11:49 pagi Ahad.

Ini selepas keadaan cuaca tidak mengizinkan hingga menyebabkan dua peti undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Napir tidak dapat dibawa ke Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Suarah Limbang.

Pada Ahad, kedua-dua peti undi itu selamat tiba di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Suarah Limbang dengan menggunakan helikopter yang diiringi Ketua Tempat Mengundi dan polis.

Secara rasmi keputusan PRU-15 bagi Parlimen Limbang menyaksikan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Hasbi Habibollah menang dengan majoriti undi 9,998 undi apabila memperoleh 14,897 undi menewaskan pencabarnya dari Pakatan Harapan (PH) Racha Balang yang hanya memperoleh 4,899 undi. 

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Limbang Petrick Linggie Taboh mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam melancarkan proses PRU-15 termasuk Residen Bahagian Limbang, ketua-ketua jabatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Limbang.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *