Sarawak Kekal Harmoni Walaupun Dalam Perbezaan Agama & Bangsa

UKAS  > Edisi-Utara >  Sarawak Kekal Harmoni Walaupun Dalam Perbezaan Agama & Bangsa
0 Comments

ISNIN, 5 DISEMBER 2022

MIRI: Sarawak mempunyai rekod membanggakan di mana masyarakat negeri kekal hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni walaupun berbeza kaum dan agama. 

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, ini kerana Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinannya komited untuk melaksanakan dasar-dasar keterangkuman yang melibatkan setiap lapisan masyarakat. 

Sebagai contoh jelasnya, sejak lima tahun lepas Kerajaan Sarawak telah menyalurkan sejumlah RM255 juta geran melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di bawah Jabatan Premier Sarawak bagi membantu semua agama bukan Islam untuk membina atau menaik taraf rumah ibadat mereka.

“Untuk tahun depan, RM100 juta telah diluluskan untuk menampung permintaan yang semakin meningkat di seluruh Sarawak.   

“Perkara ini hanya boleh didapati di Sarawak dan merupakan bukti bahawa kerajaan negeri komited terhadap dasar keterangkumannya,” katanya. 

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam Program Miri City Christmas Parade 2022 di Dataran Kipas Miri pada Sabtu. 

Jelasnya lagi, Sarawak amat bertuah kerana cukup terlindung daripada ekstremisme agama dan isu-isu pecah belah yang berlaku di luar negeri ini.   

Sementara itu katanya, Miri ialah sebuah bandar yang indah, bertenaga dan berbilang kaum di mana penduduknya berbangga untuk mempromosikan budaya dan tradisi mereka seperti yang ditunjukkan dalam program ‘Christmas Parade’ itu.  

Justeru, Premier Sarawak menyeru kepada semua rakyat setempat agar sentiasa mengekalkan Miri sebagai bandar raya yang aman dan harmoni, sekaligus menyumbang kepada usaha Sarawak menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi yang maju menjelang 2030.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang berkata, “Jesus, the Joy of Christmas” telah dipilih sebagai tema Perarakan Krismas Bandar Miri untuk tahun ini.

“Perarakan ini bermula dan berakhir di Miri City Fan Urban Park dengan aktiviti tarian dan nyanyian lagu-lagu Krismas secara tradisional telah diadakan di sepanjang jalan. 

“Ini adalah sambutan buat tahun ke-13 semenjak tahun 2008 di mana ia kembali berlangsung selepas berehat selama dua tahun akibat pandemik COVID-19. 

“Keunikan sambutan perayaan sebegini telah menarik perhatian penduduk tempatan di seluruh Sarawak dan pengunjung luar negara. Atas sebab inilah, program ini telah menjadi salah satu acara dalam Kalendar Acara Tahunan Sarawak bagi promosi pelancongan,” ujarnya. 

Dalam pada itu beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur tahun ini, The Roman Catholic Church of Miri bersama 16 gereja lain di Bandaraya Miri yang telah mengambil banyak masa dan usaha untuk merancang dan melaksanakan perarakan kali ini.

Dalam majlis tersebut, turut disampaikan cek dari Association of Churches in Sarawak, ACS Miri Branch kepada empat Badan Bukan Kerajaan (NGO) berjumlah RM5,000. 

Antaranya NGO yang menerima ialah Kenosis Sarawak Drug Rehab, Prison Fellowship Ministry (Miri), Persatuan Pendidikan Inspirasi Miri dan Persatuan Perkhidmatan Keupayaan Miri (Miri Ability Service Association). 

Turur hadir, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Penguang Manggil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek), Datuk Gerawat Gala dan Timbalan Menteri Pelancongan,  Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *