SIRCC Platform Peserta Berbilang Bangsa Eratkan Silaturahim & Mendapat Ilmu Baharu

UKAS  > Edisi-Selatan >  SIRCC Platform Peserta Berbilang Bangsa Eratkan Silaturahim & Mendapat Ilmu Baharu
0 Comments

ISNIN, 5 DISEMBER 2022

SERIAN: Serian International Remote Control Carnival (SIRCC) Tahun 2022 yang kini dalam edisi kelima mampu menjadi platform untuk para peserta meluaskan ilmu serta kenalan dalam suasana kepelbagaian demografik yang menyertai program tersebut.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, program itu boleh diambil sebagai peluang untuk merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta walaupun berbeza latar belakang, budaya, pendapat, bahasa dan juga negara.

“Saya amat terharu dan bangga dengan penyertaan meriah dalam SIRCC yang terdiri daripada warganegara Malaysia dan juga negara luar termasuk Indonesia, Thailand, Brunei Darussalam, Kuwait, Dubai dan Abu Dhabi,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Edisi Kelima SIRCC Tahun 2022 di Danu Serian pada malam Ahad.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat menambah, penganjuran program seumpamanya akan mempromosikan bahagian Serian sebagai salah satu lokasi kegemaran terutamanya bagi pertandingan kawalan jauh.

Pada program itu, Datuk Roland turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM30,000 kepada SIRCC.

Untuk rekod, Edisi Kelima SIRCC Tahun 2022 anjuran Majlis Daerah Serian ini dilaksanakan selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad.

Turut menjayakan SIRCC kali ini ialah tiga kelab dan persatuan iaitu Kuching R.C Boat Association, Borneo Scale Crawler dan Petra Flyers R.C Club.

Dalam pada itu, program tersebut berjaya dianjurkan dengan Gas Power Team membawa pulang wang tunai sebanyak RM7,000 setelah dinobatkan sebagai ‘King Of Danu Serian’ pada tahun ini.

Turut hadir ialah ADUN Bukit Semuja, John Ilus, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Desmond Douglas Jerukan, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Damen Rejek, Setiausaha Majlis Daerah Serian, Constantine Gerald David Jonas serta Pengerusi Majlis Daerah Serian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur SIRCC, Lim Hock Meng. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *