Nyurak Keti Residen Bahagian Bintulu Baharu

UKAS  > Uncategorized >  Nyurak Keti Residen Bahagian Bintulu Baharu
0 Comments

SELASA, 6 DISEMBER 2022

BINTULU: Nyurak Keti dilantik sebagai Residen Bahagian Bintulu baharu berkuatkuasa 5 Disember lepas.

Beliau yang sebelum ini merupakan Residen Bahagian Kapit telah berpindah ke Pentadbiran Bahagian Bintulu bagi menggantikan Datu Jack Aman Luat yang kini menggalas jawatan sebagai Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

Untuk rekod, Datu Jack telah memikul tanggungjawab sebagai Residen Bahagian Bintulu selama lima tahun.

Dalam pada itu, satu majlis penyerahan tugas telah diadakan di Pejabat Residen Bahagian Bintulu pada Isnin yang turut dihadiri oleh Timbalan Residen Bahagian Bintulu Husaini Hakim dan Pegawai Daerah Tatau Jabang Juntan.

Dalam perkembangan lain, Datu Jack ketika ditemui menyambut baik pelantikan Ahli Parlimen Bintulu Dato Sri Tiong King Sing sebagai Menteri Pelancongan Malaysia baru baru ini.

Beliau menaruh harapan agar lantikan tersebut akan merancakkan lagi industri pelancongan di bahagian Bintulu yang mempunyai banyak tempat menarik sebagai kawasan tumpuan pelancong.

“Sebuah pejabat Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) serta sebuah pusat kraftangan juga harus dibina di Bintulu untuk terus memacu sektor pelancongan di sini,” jelasnya. 

Manakala, beliau juga berharap projek-projek rakyat seperti pembinaan Jambatan Jepak dan Pusat Pentadbiran Bahagian Bintulu yang baharu akan sentiasa dipantau bagi memastikan projek-projek tersebut dapat disiapkan tepat pada masanya. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *