KHAMIS, 8 DISEMBER 2022

KUCHING: Sambutan Hari Inovasi dan Integriti Serta Keselamatan Kesihatan Pekerja Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) 2022 adalah selaras dengan saranan kerajaan bagi menggalakkan budaya integriti dan inovasi dalam perkhidmatan awam.

Sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mempunyai tanggungjawab mentadbir bahagian Kuching Utara yang meliputi hampir semua bidang iaitu dari perancangan, pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur hinggalah ke pembersihan parit dan kawasan, keprihatinan DBKU sudah semestinya menjamin kualiti dan perkhidmatan yang lebih berkesan.

Menurut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, urus tadbir yang baik bertunjangkan integriti dapat memberikan keyakinan dan kepuasan kepada pelanggan.

“Integriti menjadi pelindung kepada penyelewengan dalam urusan dengan orang awam, mengelakkan salah guna kuasa, mengelakkan rasuah dan mengukuhkan keutuhan pengurusan.

“Di samping itu, integriti dalam perkhidmatan awam akan memajukan urus tadbir yang baik,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian melalui teks yang dibacakan oleh Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Junaidi Reduan semasa sambutan Hari Inovasi dan Integriti Serta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja DBKU 2022 bertempat di Hotel Imperial Kuching pada Khamis.

Tambahnya, sesebuah organisasi yang berintegriti akan berpegang teguh kepada prinsip kompeten, amanah, dan telus yang pastinya akan melonjakkan kualiti kerja di dalam organisasi berkenaan.

Manakala budaya inovasi pula, menggalakkan wargakerja dalam organisasi tersebut mencetus idea-idea yang kreatif dan inovatif yang dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan serta memberi faedah kepada pelanggan,

Beliau juga berharap agar budaya kerja berintegriti dan berinovasi ini dapat diteruskan untuk mencapai visinya iaitu ‘A World Class Civil Service’.

Hadir sama Ahli Dewan DBKU Dato Grunsin Ayom, Pengarah DBKU Mohamed Khaidir Abang, Pegawai-Pegawai Kanan dan wargakerja DBKU. – EDISI UKAS

add comment