JUMA’ANI Pavilion Pusat Sehenti Fesyen Terkemuka Di Borneo

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  JUMA’ANI Pavilion Pusat Sehenti Fesyen Terkemuka Di Borneo
0 Comments

RABU, 7 DISEMBER 2022

KUCHING: JUMA’ANI Pavilion menjadi pusat sehenti fesyen terkemuka di Borneo serta pusat latihan bagi pereka fesyen muda tempatan yang berbakat seterusnya menjadi usahawan berjaya dalam bidang fesyen dan tekstil.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, JUMA’ANI Pavilion ialah rumah fesyen yang pakar dalam reka bentuk, pengeluaran dan penjualan produk warisan lestari yang disesuaikan.

“Ini bermakna JUMA’ANI Pavilion merupakan sebuah tempat untuk pereka-pereka tempatan berkarya menghasilkan rekaan fesyen mengikut trend semasa dengan menggabungkan elemen warisan di dalamnya.

“Siapakah pereka tempatan tersebut? Ia terbahagi dua iaitu pelatih Pusat Kecemerlangan Teknikal (CENTEXS) yang mengambil jurusan Fashion Technology dan pereka fesyen tempatan yang sedia ada.

“Setiap pelatih yang mengambil bidang ini akan diberi pendedahan secara menyeluruh bermula daripada proses menjahit sehinggalah membuat reka bentuk,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan  dibaca oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam majlis perasmian JUMA’ANI Pavilion yang disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di sini pada Rabu.

Beliau menambah, bagi melahirkan pelatih yang cemerlang dalam bidang itu, CENTEXS telah melantik empat pereka fesyen tempatan untuk membantu para pelatih.

“Sepanjang tempoh pengajian mereka, pelatih-pelatih ini juga akan diberi pendedahan dalam hal-hal berkaitan production. Mereka akan dihantar ke JUMA’ANI Pavilion membuat production untuk menghasilkan pakaian, kasut, beg, clutch, tudung dan sebagainya. Setelah mahir nanti, mereka akan ditawarkan bekerja di sini nanti,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, JUMA’ANI Pavilion dilengkapi dengan pelbagai teknologi seperti 3D body scanner yang mampu mengukur badan seseorang tanpa menggunakan pita pengukur lagi.

“Bukan itu sahaja, sesiapa sahaja yang telah masuk ke dalam tempat body scanner berkenaan, secara automatik ukuran badannya akan terus ke komputer untuk tujuan diedit sebelum dihantar maklumat tersebut ke polar printing machine. Semua ini tidak lagi perlu dibuat secara manual.

“Walau bagaimanapun, tidak semua proses penghasilan sesuatu produk itu akan dibuat di sini. Sesetengahnya akan dihantar ke production house luar dan selepas itu akan dikembalikan semula ke JUMA’ANI Pavilion untuk proses akhir,” ujarnya.

Selain itu tambahnya, JUMA’ANI Pavilion juga mempunyai mesin membuat kasut dan produk-produk berkaitan dengan barangan kulit serta ia juga menempatkan sebuah makmal penciptaan reka bentuk yang boleh digunakan oleh pelatih CENTEXS dan pereka tempatan untuk merancang, mencipta, mereka bentuk dan melakar rekaan yang bakal dihasilkan.

Antara yang turut hadir dalam majlis ini ialah isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, isteri Timbalan Premier Sarawak Datin Amar Doreen Mayang, Menteri Pelancongan, Seni Persembahan dan Industri Kreatif Sarawak yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri Datin Zuraini Abdul Jabar, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Setiusaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ahli lembaga Pengarah CENTEXS dan CENTEXS Commmericial Services Datu Dr. Sabariah Putit, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kecemerlangan Teknikal (CENTEXS) Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman serta dif-dif jemputan yang lain.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *