SUKSEM Sarawak Mahu Kekalkan Kejuaraan, Cari Bakat Baharu

UKAS  > Edisi-Selatan >  SUKSEM Sarawak Mahu Kekalkan Kejuaraan, Cari Bakat Baharu
0 Comments

KHAMIS, 8 DISEMBER 2022

KUCHING: Persatuan Sukan Setiausaha Kerajaan Negeri se-Malaysia (SUKSEM) 2022 Sarawak akan mengenal pasti, melatih dan melantik pencari bakat melibatkan semua jenis pertandingan sukan di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, beliau mahu mengekalkan kejuaraan pada tahun mendatang seperti yang berjaya dilakar oleh  kontinjen Sarawak pada kejohanan SUKSEM Oktober lepas.

“Hasrat utama kita adalah untuk mengekalkan kejuaraan SUKSEM ini pada masa akan datang selain daripada menambah baik perkhidmatan kerajaan kita supaya kekal aktif dan cergas.

“Oleh itu, wajar kita mencari pelapis atau bakat baharu supaya misi yang telah ditetapkan dapat dicapai,” katanya semasa berucap pada Majlis Apresiasi SUKSEM Sarawak 2022 bertempat di Hotel Waterfront Kuching pada Rabu.

Untuk rekod, Sarawak muncul juara pada kejohanan SUKSEM 2022 ini dengan 51 mata selepas meraih tiga emas, dua perak dan tiga gangsa diikuti Sabah dengan 30 mata hasil pungutan tiga emas manakala kontinjen Selangor menduduki tempat ketiga dengan mengutip 22 mata keseluruhan.

Sebanyak 10 acara sukan dipertandingkan antaranya bola sepak, badminton, sepak takraw, bola jaring dan bola tampar.

Hampir 2,000 atlet serta pegawai daripada 12 kontinjen telah menyertai SUKSEM Edisi ke-8 yang dianjurkan di Selangor pada 25 hingga 30 Oktober 2022 yang lalu.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap ‘Chef De Mission’ Sarawak Datu Buckland Bangik serta tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *