Datu Hii Chang Kee Serah Tugas Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak

UKAS  > Edisi-Iban >  Datu Hii Chang Kee Serah Tugas Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak
0 Comments

JUMAAT, 30 DISEMBER 2022

KUCHING : Datu Hii Chang Kee secara rasmi telah menyerahkan tugas Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak kepada Residen Bahagian Kuching, Datu Sherrina Hussaini.

Hadir menyaksikan penyerahan berkenaan ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Bangunan Baitulmakmur 2 Kuching di sini pada Jumaat. 

Difahamkan beliau akan berpindah ke Jabatan Premier Sarawak yang berkuatkuasa 3 Januari 2023. 

Sebagai rekod, Datu Hii pernah memegang jawatan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak pada 2018, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan pada 2019 dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan pada 2022.

Beliau telah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) sejak tahun 1992 bermula di Majlis Perbandaran Sibu. 

Sepanjang kerjayanya di SCS, beliau berkhidmat dalam pelbagai jawatan di Kerajaan Sarawak dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran Sibu selama lima tahun. 

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Residen Bahagian Sibu.

Dalam majlis sama turut menyaksikan serah tugas Nancy Jolhi sebagai Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Morshidi Federick. 

Nancy Jolhi bakal berpindah ke Jabatan Muzium Sarawak sebagai Pengarah yang juga berkuatkuasa pada 3 Januari 2023. 

Beliau telah berkhidmat dalam SCS sejak tahun 1997 dan beliau telah berkhidmat bersama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan selama tujuh tahun. 

Justeru, Dato Sri Abdul Karim menzahirkan ucapan terima kasih kepada kedua-duanya atas khidmat mereka selama ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan II Datuk Snowdan Lawan dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan) Dr. Ripin Lamat.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *