SELASA, 10 JANUARI 2023

KUCHING: MYAirline bakal membuka dua laluan penerbangan baharu ke Sarawak iaitu melibatkan laluan dari Kuala Lumpur ke Sibu dan Kuala Lumpur ke Miri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline Rayner Teo, laluan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sibu akan bermula pada 18 Januari 2023 sebanyak 14 kali seminggu.

Manakala katanya, laluan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Miri akan bermula pada 1 Mac 2023 sebanyak tujuh kali seminggu dan akan meningkat ke 14 kali seminggu bermula 15 Mac 2023.

Beliau berkata demikian semasa menerima lawatan kerja Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin serta dua Timbalan Menterinya iaitu Datuk Dr Jerip Susil dan Dato Henry Harry Jinep ke ibu pejabat MYAirline Sdn. Bhd. di Subang Jaya, Selangor pada Selasa. 

Sejurus selepas tiba, Rayner telah memberikan taklimat kepada Dato Sri Lee dan rombongannya tentang operasi latar belakang dan perancangan masa depan MYAirline terutamanya operasi di Sarawak.

Dalam satu kenyataan media, Dato Sri Lee juga telah mencadangkan kepada MYAirline untuk memasukkan dalam perancangan untuk mengendalikan beberapa laluan penerbangan antarabangsa mereka dari Sarawak.

Selain itu, perkara lain yang dibincangkan termasuk laluan baharu yang berpotensi ke atau dalam Sarawak, kekerapan penerbangan, perkhidmatan penumpang, tambang penerbangan dan menerokai kawasan berpotensi kerjasama dengan MOTS dan industri penerbangan. -EDISI UKAS

add comment