ISNIN, 30 JANUARI 2023 

KAKUS: Penduduk tempatan digesa agar sentiasa menjaga keselamatan di rumah panjang.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai memberitahu, ia bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku termasuk bencana kebakaran.

“Pelbagai punca kebakaran berlaku yang antaranya seperti isu litar pintas.

“Oleh demikian, kita harus memastikan agar penyambungan elektrik di rumah panjang dilakukan mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

“Jangan gunakan tali wayar yang salah dan tidak bersesuaian kerana ini akan boleh menyebabkan berlakunya kebakaran,” katanya semasa berucap dalam Majlis Mangkung Tiang Rumah Micheal China di sini pada Sabtu.

Untuk rekod, rumah panjang mereka telah musnah dalam kejadian kebakaran pada tahun 2015.

Melalui inisiatif Kerajaan Sarawak, rumah panjang itu telah mendapat bantuan ehsan kebakaran untuk pembinaan rumah panjang baharu.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada Biro Wanita serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Micheal China untuk mengurangkan beban dalam membeli barangan keperluan bagi rumah panjang mereka. 

Turut disampaikan juga Cek MRP sebanyak RM15,000  kepada Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Tatau oleh Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta.

Sementara itu, Datuk John Sikie turut mengumumkan projek MRP kepada 10 JKKK rumah panjang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM400,000 di mana separuh daripada dana itu adalah dibawah peruntukan beliau manakala sebahagian lagi adalah dibawah peruntukan Ahli Parlimen Selangau.

Antara penerima ialah Rumah Jimbun Jagoah, Rumah Esther Ansai, Rumah Rawing Manja, Rumah Gerry Jani, Rumah Joseph Mong Meludu, Rumah China Guang, Rumah Suran Unow, Rumah Edward Jalin Ampas, Rumah Tadong Lungan dan Rumah Joshua Renang Manai.

Selesainya program di Rumah Micheal China, beliau bersama Edwin telah melawat ke Rumah Joseph Mong bagi meninjau kemajuan pembinaan rumah panjang tersebut. –EDISI UKAS

add comment