RABU, 8 FEBRUARI 2023

MIRI: Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) Negeri Sarawak komited dalam menjalankan tugas dan peranannya bagi memastikan wang awam dibelanjakan dengan berhemah dan mencapai objektif yang telah ditetapkan. 

Pengerusi PAC Negeri Sarawak, Razaili Gapor berkata, susulan daripada pembentangan laporan Ketua Audit Negara bagi Tahun 2019 (Siri 1) pada 14 Februari 2022 yang lalu, PAC telah memutuskan untuk meneliti semua isu yang dibangkitkan dan bercadang untuk turun padang dan melawat sekurang-kurangnya satu projek pembangunan di Sarawak pada tahun ini.

“Projek Pembinaan Biovalley Park, Bahagian Miri merupakan salah satu projek yang menjadi tumpuan bagi lawatan tapak pada kali ini. 

“Projek ini selari dengan Pelan Biovalley Kebangsaan bagi memenuhi keperluan bioteknologi dan berpotensi tinggi bagi membangunkan produk berasaskan sumber biodiversiti di Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demkian semasa mengadakan lawatan ke tapak Projek Pembinaan BioValley Park di Bahagian Miri pada Rabu. 

Jelasnya lagi, penemuan Audit mendapati bahawa terdapat beberapa kelemahan pada projek ini. 

“Pihak Audit merumuskan bahawa objektif pembinaan bagi projek ini belum tercapai sepenuhnya kerana masih belum memulakan operasi sehingga bulan Disember 2019 walaupun projek telah diperakui siap pada 18 Mei 2017.

“Dengan pengurusan yang baru dan taklimat yang diberikan oleh pihak pengurusan Sarawak BioValley Pilot Plant (SBPP) yang dimiliki oleh Sarawak Research and Development Council (SRDC), ahli-ahli jawatankuasa awam berpuas hati dengan perancangan jangka panjang dan pencapaian perancangan tersebut pada tahun 2022,” ujarnya. 

Disamping taklimat oleh Biovalley Park, rombongan Ahli-ahli Jawatankuasa Awam juga dibawa melawat dan meninjau pelan-pelan sedia ada.

Difahamkan terdapat beberapa projek penyelidikan dalam perancangan yang menarik perhatian Ahli-Ahli PAC antaranya projek untuk mengeluarkan makanan haiwan daripada sisa Minyak Sawit, makanan haiwan dan penggantian protein serta pengekstrakan protein daripada alga.

Turut hadir dalam lawatan tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Ir. Lo Khere Chiang, ADUN Batu Lintang See Chee How, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, ADUN Serumbu Miro Simuh, ADUN Meluan Rolland Duat, ADUN Kabong Mohd Chee Kadir dan Setiausaha PAC Pele Peter Tinggom.-EDISI UKAS 

add comment