Mini Karnival Usahawan SEDC & Sara-Bif Sdn Bhd, Platform Bantu Usahawan Tempatan

UKAS  > Edisi-Utara >  Mini Karnival Usahawan SEDC & Sara-Bif Sdn Bhd, Platform Bantu Usahawan Tempatan
0 Comments

SABTU, 11 FEBRUARI 2023

MIRI:Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bersama PPES Ternak Sdn Bhd menganjurkan program Mini Karnival Usahawan SEDC & Sara-Bif Sdn Bhd selama tiga hari iaitu bermula 10 hingga 12 Februari 2023.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato’ Sri Lee Kim Shin berkata, pelaksanaan program itu amat bersesuaian dengan hasrat kerajaan Sarawak yang mahu melahirkan dan memerlukan lebih ramai lagi usahawan di negeri ini.

Beliau berkata, ia menjadi bidang penting yang dititikberatkan oleh Kerajaan kerana bidang keusahawanan ini akan membantu dan mempercepatkan pemulihan serta pengembangan ekonomi Sarawak termasuk Malaysia.

“Ini adalah satu bidang yang memang dipromosi oleh kerajaan kita dengan pelbagai program untuk mempromosikan usaha ini iaitu kita ingin memerlukan lebih ramai lagi usahawan-usahawan kita di Sarawak.

“Apa yang penting dan apa yang kita perlukan di Sarawak ialah kita perlukan lebih ramai lagi tenaga-tenaga kerja yang berkemahiran, berpengetahuan dan juga kreatif dan inovatif.

“Kalau kita ada tenaga kerja, Sarawak akan bertambah maju dan kita akan dapat mencapai rancangan kita yang diilhamkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg iaitu ingin menjadikan Sarawak sebagai wilayah yang berpendapatan tinggi,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis peramsian program tersebut di sini pada Sabtu.

Program ini diadakan untuk mempromosikan dan memasarkan produk-produk keluaran usahawan SEDC dan sekaligus produk milik PPES Ternak iaitu Sarabif.

Usaha ini adalah selaras dengan peranan SEDC sebagai agensi kerajaan yang membantu mempromosikan pembangunan komersil, industri dan sosio-ekonomi Sarawak.

Pelaksanaan program-program seumpama ini bukan sekadar dapat membantu usahawan untuk memasarkan produk mereka malah dapat memberi manfaat kepada usahawan untuk bersemuka secara langsung dengan agensi-agensi yang terlibat sepanjang program ini berjalan.

Sebagai fokus utama penganjuran mini karnival ini, sebanyak 13 buah syarikat atau usahawan di bawah SEDC dan 10 buah agensi kerajaan menyertai program ini.

Penganjuran Mini karnival ini juga turut menyediakan pameran dan khidmat nasihat berkaitan usahawan.

Beberapa aktiviti tarikan pengunjung antara pengisian dalam program ini termasuk pertandingan memasak berasaskan daging Sara-Bif, pertandingan karaoke, taklimat usahawan daripada agensi dan demonstrasi masakan daripada Chef Abdul Muluk Rambli atau lebih dikenali sebagai Chef Muluk.

Hadir sama, Pengurus Besar SEDC Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir  dan Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Miri Edward Tawang.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *