Agong Titah Bentuk Era Malaysia Gemilang Menerusi Ikatan Perpaduan

UKAS  > Edisi-Utama >  Agong Titah Bentuk Era Malaysia Gemilang Menerusi Ikatan Perpaduan
0 Comments

ISNIN, 13 FEBRUARI 2023

KUALA LUMPUR: Kestabilan lanskap politik menerusi ikatan perpaduan ahli-ahli parlimen perlu dijadikan sebagai manifestasi dalam membentuk era Malaysia baharu yang gemilang. 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah,perpaduan adalah penyatuan dalam perbezaan agama dan bangsa di samping merupakan asas pembinaan kestabilan dan keharmonian yang menyumbang kepada kemajuan serta kejayaan.

Sehubungan itu, baginda menyeru agar semua pihak mengenepikan agenda politik sempit dan bersatu hati atas nama perpaduan. 

“Beta berdoa dan berharap kerajaan Beta akan menjadi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan berwibawa manakala barisan pembangkang pula akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang membina dan sebagai pihak semak dan imbang kepada kerajaan Beta.

“Beta juga berdoa semoga negara Malaysia bersama rakyat yang sangat Beta kasihi akan terus hidup dengan penuh kerukunan atas dasar perpaduan dan sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, pada Isnin. 

Dalam masa sama, Al-Sultan Abdullah menyambut baik matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi melalui usaha pemerkasaan peranan sektor swasta serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

“Bagi menyokong usaha tersebut, penyediaan infrastruktur dan akses kepada perkhidmatan digital perlu terus dipertingkatkan selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional tahun 2030,” titah baginda.

Selain itu, baginda turut bertitah mengingatkan agar ekosistem industri sentiasa dikawal selia dan ditambah baik seiring dengan perkembangan semasa.

Titah baginda lagi, pada 30 Januari 2024, baginda akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Sejak 31 Januari 2019, baginda telah melafazkan sumpah taat setia untuk menjalankan dengan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagai mana undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *