ADUN Tellian Rancang Bentuk Biro Pendidikan Mukah

UKAS  > Edisi-Tengah >  ADUN Tellian Rancang Bentuk Biro Pendidikan Mukah
0 Comments

SABTU, 18 FEBRUARI 2023

DALAT: Satu lagi inisiatif untuk memperkasa pendidikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian sedang dirancang melalui pembentukan biro pendidikan Mukah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata biro yangn merangkumi pendidikan dan kokurikulum itu telah dilancarkan September tahun lepas. 

“Anak-anak yang cemerlang di kalangan keluarga yang kurang berkemampuan, kita akan cuba membantu mereka ini meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. 

“Kita mempunyai jawatankuasa yang akan menapis dan memilih yang benar-benar layak bagi mendapatkan bantuan,” katanya berucap dalam Majlis Makan Malam Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Baoh di Dewan Kaunselor Lambong, SK Baoh Ulu pada Jumaat. 

Jelasnya lagi, biro ini juga akan menyediakan program khas kelas tuisyen percuma kepada anak-anak yang perlu dibantu. 

“Untuk kawasan luar Bandar, kita akan cuba perhalusi juga untuk memberi tuisyen percuma kepada anak-anak khususnya di luar bandar.

“Itu nanti, kita bincang dengan lebih lanjut dengan pihak PIBG dan pihak sekolah. Kita ingin melihat perkembangan dan pembangunan terutamanya di kawasan ulu ini terutamanya,” ujarnya lagi. 

Menyentuh perkara lain, beliau berkata kawasan Ulu Baoh memerlukan satu dewan yang besar untuk pelaksanaan sebarang aktiviti. 

Bagi tujuan itu katanya, sebanyak RM400,000 telah diluluskan untuk membina dewan Ulu Baoh dengan tapak juga sudah dikenal pasti.

Dalam majlis tersebut Royston telah mengumumkan geran  projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM10,000 untuk PIBG SK Ulu Baoh. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *