SABTU, 18 FEBRUARI 2023

BINTULU: Warga Samalaju bakal memiliki sekolah baharu yang serba moden dengan siapnya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Samalaju yang kini sedang dibina.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi berkata, sekolah tersebut dibina dengan kos melebihi RM57 juta dan setakat ini telah siap sebanyak 32.7 peratus. 

Beliau yang hadir ke tapak projek SMK Samalaju pada Jumaat menambah, sekolah itu adalah salah satu dari sekolah yang termoden dibina di kawasan DUN Samalaju yang merangkumi empat blok bilik darjah setinggi empat tingkat dan juga 36 bilik darjah.

“Selain itu, turut dalam pembinaan ialah sebuah asrama yang dapat memuatkan 450 orang pelajar dan 24  rumah guru yang akan dibina bersama dengan kemudahan-kemudahan lain,” ujar beliau. 

ADUN Samalaju itu menambah, beliau berharap agar sekolah tersebut dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh pertengahan tahun 2024. 

Turut hadir dalam lawatan tersebut Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu (Sektor perancangan) Yusup Harbi, Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya Bintulu Ir. Lau Pit Hwa dan wakil Pejabat Residen Nicholas Chan Tze Haw. – Edisi UKAS

add comment