Ibu Bapa Perlu Tunaikan Tanggungjawab Bangunkan Pendidikan Anak

UKAS  > Edisi-Utara >  Ibu Bapa Perlu Tunaikan Tanggungjawab Bangunkan Pendidikan Anak
0 Comments

AHAD, 19 FEBRUARI 2023

TATAU: Golongan ibu bapa perlu sentiasa menunaikan tanggungjawab dalam menitikberatkan pendidikan dan kebajikan anak masing-masing.

Menurut Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, kejayaan anak bermula dari pendidikan di rumah sejak mereka kecil lagi.

Sehubungan itu jelasnya, ibu bapa tidak patut melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada warga pendidik semata-mata.

“Tugas sebagai pendidik bukan tugas yang mudah kerana mereka telah diberikan kepercayaan untuk mendidik anak-anak. Namun, ibu bapa tidak harus melepaskan tanggungjawab tersebut kepada pihak guru sahaja.

“Sebaliknya, mereka patut sentiasa menitikberatkan soal pendidikan dan kebajikan anak-anak, contohnya memastikan mereka mempunyai kelengkapan secukupnya untuk sesi pembelajaran.

“Anak-anak merupakan aset masa hadapan. Jika pendidikan mereka tidak diutamakan, sukar untuk mereka berjaya pada masa depan,” katanya dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sesi 2022/2023 Sekolah Kebangsaan (SK) Tatau di dewan sekolah tersebut di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus telah mengumumkan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM150,000 bagi membina laluan berbumbung di SK Tatau serta geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM50,000 untuk sekolah tersebut.

Datuk John Sikie turut memberitahu, bermula tahun depan, pelajar SK Tatau yang dianugerahkan Tokoh Murid akan menerima insentif sebanyak RM2,000 daripada beliau.

Pada majlis tersebut, Tokoh Murid SK Tatau bagi Tahun 2022 telah dianugerahkan kepada Shierlyn Purai Ngau yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai aspek seperti kurikulum, hal ehwal murid (HEM) dan kokurikulum termasuk mendapat tempat ketiga dalam ‘Junior Innovate Competition’ Peringkat Kebangsaan.

Hadir sama, Guru Besar SK Tatau, Ibai Aning, Pengetua SMK Tatau, Dr Layang Ugek, Penolong Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tatau Sebauh, Dzulfadly Ahmad, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tatau, Mohammad Rizal Julaihi dan Pemanca Daerah Tatau, Gerosen Jubin. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *