KMKK Perlu Mainkan Peranan Sebagai Penghubung Antara Rakyat Dengan Kerajaan Sarawak

UKAS  > Edisi-Utara >  KMKK Perlu Mainkan Peranan Sebagai Penghubung Antara Rakyat Dengan Kerajaan Sarawak
0 Comments

AHAD, 19 FEBRUARI 2023

MIRI: Setiap Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu peka dan sentiasa bersedia untuk memainkan peranan mereka sebagai penghubung antara rakyat dengan kerajaan Sarawak.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, KMKK mempunyai jalinan hubungan yang cukup baik di peringkat akar umbi.

Jelasnya, ini memudahkan mereka untuk memastikan semua agenda pembangunan serta bantuan yang disediakan kerajaan Sarawak dapat disalurkan dan sampai terus kepada rakyat.

“KMKK juga perlu menerima tanggungjawab yang diamanahkan dengan hati yang tabah dan penuh kesabaran di samping memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di akar umbi.

“Walaupun elaun yang diterima tidak lumayan dan tidak setimpal berbanding dengan perkhidmatan yang diberikan, tetapi mereka juga sentiasa bersedia dan komited untuk menghulurkan bantuan dan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dibawah tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Mesra Perayaan Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Miri di sini pada Sabtu.

Pada masa sama katanya, golongan pemimpin juga harus sentiasa peka terhadap perkembangan setempat supaya pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, lancar dan efektif.

“Pemimpin masyarakat bukan sahaja memberi maklum balas berhubung masalah rakyat tetapi turut memainkan peranan penting terutama bagi memastikan nasib rakyat di peringkat akar umbi terbela,” tegasnya.

Pada majlis itu, Datuk Gerawat mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 di bawah geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Miri, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM20,000 untuk persatuan tersebut setelah Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin turut menyumbang RM 10,000. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *