Usaha Melahirkan Generasi Celik Al-Quran Di Matu

UKAS  > Edisi-Tengah >  Usaha Melahirkan Generasi Celik Al-Quran Di Matu
0 Comments

AHAD, 19 FEBRUARI 2023

MATU: Dalam usaha melahirkan generasi yang boleh menguasai Al-Quran, Madrasah Abdul Latip, Kampung Pergau Matu di sini telah mewujudkan Kelas Mengaji Al-Quran.

Kelas tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya pada Sabtu.

Kelas Al-Quran percuma ini menerima penyertaan yang memberangsangkan dari pelbagai golongan usia di mana pada majlis tersebut seramai 77 kanak-kanak dan 44 dewasa masing-masinh menerima buku iqra, sejadah, naskah Al-Quran dan rehal untuk kegunaan kelas mengaji itu nanti.

Ia bermula dengan penduduk Pergau dan kampung terdekat sebagai permulaan dan kelas mengaji ini nanti akan diteruskan di kawasan lain pada masa akan datang.

Menurut Dr Juanda, kelas ini akan diuruskan oleh JK Masjid dan surau kampung masing-masing di mana tenaga pengajar terdiri daripada guru-guru agama dari sekolah kawasan ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar masyarakat terus konsisten hadir menyertai kelas tersebut.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan di beberapa lokasi di Matu pada Sabtu.

Terdahulu, Dr Juanda mengadakan lawatan di Kampung Tian, Matu bagi mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan sungai bersama penduduk di situ.

Difahamkan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama pihak Majlis Daerah Matu Dan Daro (MDMD) bekerjasama dalam aktiviti tersebut bagi meluaskan lagi sungai dan mengindahkan lagi suasana kampung.

Selepas itu, Dr Juanda melawat beberapa buah rumah yang dibaikpulih di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP)-Projek Perumahan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) yang telah siap antaranya di Kampung Treng, Kampung Halud dan Kampung Pergau Matu. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *