Dato Sri Lee Cadang Beberapa Penyelesaian Atasi Kesesakan Di Tol Sungai Tujoh

UKAS  > Edisi-Utara >  Dato Sri Lee Cadang Beberapa Penyelesaian Atasi Kesesakan Di Tol Sungai Tujoh
0 Comments

SELASA, 21 FEBRUARI 2023

MIRI: Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin mencadangkan beberapa penyelesaian bagi menangani masalah kesesakan yang berlaku di Tol Sungai Tujoh kepada penduduk sekitar.

Beliau berkata, penduduk kampung yang tinggal di sekitar situ menghadapi masalah kesesakan sehingga terpaksa berbaris panjang sehingga dua ke tiga jam lamanya terutama sekali pada hujung minggu dan hari cuti pelepasan am.

Sehubungan itu katanya, beliau telah mengemukakan cadangan termasuk pemasangan papan tanda LED yang terang dan jelas untuk memudahkan pengembara membezakan laluan untuk kenderaan tempatan dengan kenderaan asing.

“Saya telah membuat beberapa cadangan iaitu kita minta pengusaha untuk membuat papan tanda yang lebih besar dan papan tanda LED supaya mereka (pengguna jalan raya) boleh melihat dari jauh di mana lorong untuk kereta Malaysia dan lorong untuk kereta asing.

“Saya juga cadangkan supaya lorong kecemasan digunakan khas untuk penduduk kampung dan kakitangan Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen yang bertugas untuk mereka menggunapakai laluan berkenaan pergi dan balik kerja khususnya pada waktu puncak dan hujung minggu,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tinjauan ke atas kesesakan lalu-lintas di Bangunan Bayaran Tol Jambatan Asean yang berhampiran dengan Pos  Kawalan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh, Kuala Baram pada Selasa.

Mengulas lanjut tentang kesesakan yang sering berlaku di Pos Kawalan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh, Dato’ Sri Lee mendedahkan beliau juga telah memberi cadangan ke Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen untuk mempertingkatkan segala kemudahan dan pengubahsuaian reka bentuk.

“Saya telah banyak kali berbincang dengan Kastam dan Imigresen tentang cara mengubahsuai reka bentuk dan struktur kaunter ICQS agar dapat melancarkan proses-proses untuk perjalanan rentas sempadan.

“Ini termasuk mempertingkatkan segala kemudahan sistem teknologi elektronik serta pengubahsuaian kaunter-kaunter ICQ agar lebih relevan.

“Saya juga berhubung dengan pengarah Kastam dan Imigresen agar turun ke padang untuk melihat sendiri bagaimana kita boleh mengubahsuai dan mempertingkatkan kelancaran aliran lalu lintas,”ujarnya lagi.

Hadir sama ialah Pengurus Projek Bangunan Bayaran Tol Jambatan Asean Kuala Baram Dr Gary Tan, Pengusaha Bangunan Bayaran Tol Jambatan Asean Kuala Baram Lau Hui Hong, dan Ketua Kaum Kampung Masjid Kuala Baram Yusree Zainuzzaman.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *